Beratur awal beli beras tempatan - Utusan Malaysia

Beratur awal beli beras tempatan

ORANG ramai beratur untuk membeli beras pada program Jualan Beras Putih Tempatan di PPK Pokok Sena, Kepala Batas, Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

KEPALA BATAS: “Saya beratur sejak pukul 7.30 pagi memandangkan bekalan beras di rumah sudah hampir habis,” kata Idris Che Med, 65.

Warga emas dari Permatang Kerai Kecil, dekat sini itu menjadi individu pertama yang beratur untuk membeli sekampit beras tempatan pada program Jualan Beras Putih Tempatan dan Agro Madani di Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Pokok Sena di sini, hari ini.

IDRIS CHE MED

Katanya, selepas mengetahui program terbabit akan berlangsung hari ini, dia sudah bersiap sejak awal pagi.

“Sejak dua minggu lepas, susah sungguh nak cari beras dan biasanya saya akan beli dua tiga kampit sekali gus sebab lebih mudah.

“Tak mampu nak beli beras import kerana harganya jauh beza dengan beras tempatan, tak silap saya harganya RM50 ke atas bagi sekampit beras 5 kilogram.

“Kami tinggal bertujuh dan bila ada promosi sebegini sudah semestinya saya tidak akan lepaskan peluang,” katanya ketika ditemui pemberita pada program Jualan Beras Putih Tempatan di PPK Pokok Sena, di sini hari ini.

Sebanyak 20 tan beras tempatan berjaya dijual dalam tempoh sejam setengah pada program terbabit yang dirasmikan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.

Sementara itu, Ismail Ishak, 54, berharap agar program terbabit diadakan sekurang-kurangnya dua kali sebulan untuk membantu meringankan beban rakyat.

“Kalau boleh buat program ini lagi kerap, saya pasti lebih ramai penduduk setempat akan lebih menghargai usaha yang dilaksanakan kerajaan.

“Kita pun dah rasa terbeban sebab susah nak cari beras tapi dengan adanya program ini, senanglah sedikit,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya