Beras ‘tiruan’ tempatan campur import sukar dibuktikan

Beras ‘tiruan’ tempatan campur import sukar dibuktikan

FUZIAH Salleh (tengah) menerima penerangan daripada Pengarah Urusan SJ Circle, Yeoh Sew Jin berkaitan operasi kilang membuat lampin pakai buang itu sempena majlis perasmian Inisiatif Payung Rahmah di Kulim. -UTUSAN/AZAHAR HASHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KULIM: Tindakan terhadap aktiviti mencampurkan beras tempatan dan beras import sukar diambil kerana perkara itu tidak mudah dibuktikan sehingga ia didakwa dijual sebagai beras import sepenuhnya di pasaran.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Fuziah Salleh berkata, pihaknya bersama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) turut menerima satu aduan berkaitan aktiviti itu menerusi Op Jamin yang dikuatkuasakan sejak 7 Julai lalu.

Namun beliau berkata, tidak ada bukti nyata yang boleh dikemukakan pihak terbabit untuk tindakan selanjutnya di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 (Akta 730).

“Tiada cara untuk membuktikan melainkan kita boleh mendapatkan bukti bahawa aktiviti sedemikian benar-benar wujud. Jika ia berlaku, kita perlu buktikan di mana ia berlaku.

“Sebagai contoh, di bawah Akta Perihal Dagangan kita boleh mengambil tindakan terhadap seseorang yang menjual beg tangan Gucci tiruan pada harga asal.

“Itu mudah untuk dibuktikan tetapi beras yang dicampur bukanlah sesuatu yang mudah untuk kita buktikan. Itu keadaannya melainkan kita dapat buktikan aktiviti itu benar-benar wujud dan bukti-buktinya diserahkan untuk kedua-dua kementerian ini ambil tindakan,” katanya pada sidang akhbar program Inisiatif Payung Rahmah bersama SJ Circle Sdn. Bhd. di sini, hari ini.

Semalam, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, tindakan penguatkuasaan akan dipertingkatkan bagi memastikan beras tempatan tidak dimanipulasi sebagai beras import.

Katanya, kerajaan juga akan mengadakan pertemuan dengan Padiberas Nasional Berhad (Bernas), pegawai-pegawai tinggi Lembaga Padi dan Beras Negara (LPN) serta pesawah pada Khamis ini bagi membincangkan isu bekalan beras tempatan.

Sementara itu, Fuziah berkata, sebanyak 47 aduan berkaitan bekalan beras di seluruh negara diterima pihaknya sepanjang Op Jamin sehingga kelmarin.

“Sejak Op Jamin dikuatkuasakan oleh dua kementerian ini, sebanyak 1,053 pemeriksaan dilakukan melibatkan peringkat pengilang, pemborong dan peruncit.

“Kita dapati ada 47 aduan setakat ini yang diterima melalui aduan KPDN, saya teliti aduan itu yang kebanyakan adalah membabitkan harga beras import yang tidak dikawal kerana mengikut harga pasaran,” katanya.

Beliau juga menjelaskan bahawa semua perkara berhubung penyelewengan dalam harga dan bekalan beras adalah di bawah Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 (Akta 522) yang terletak di bawah bidang kuasa KPKM.

“Kita tidak boleh menguatkuasakan tindakan di bawah Akta Perihal Dagangan memandangkan semua berkaitan padi dan beras terletak di bawah KPKM. KPDN hanya berada di hujung rantaian bekalan,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya