Beras tempatan kurang: Kerajaan perlu tingkatkan penguatkuasaan

Beras tempatan kurang: Kerajaan perlu tingkatkan penguatkuasaan

A. VIJAYAKUMARAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Kerajaan menerusi agensi berkaitan perlu meningkatkan aspek penguatkuasaan dalam menangani isu kekurangan bekalan beras tempatan di pasaran sehingga menjejaskan keperluan pengguna.

Pengerusi Persatuan Pelindung Pengguna Negeri Sembilan, A. Vijayakumaran berkata, aktiviti penguatkuasaan yang ditingkat dan digiatkan sudah pasti penting bagi mengambil tindakan terhadap pihak yang cuba mengambil kesempatan dalam isu yang dihadapi ketika ini.

Jelas beliau, ia termasuk dakwaan berlakunya tindakan memanipulasi bekalan beras putih tempatan yang ditukarkan kepada kampit beras import serta aktiviti menyorok bekalan beras.

“Agensi penguatkuasaan kena masuk pergi cari, memang mereka bertugas dari pukul 8 hingga 5 tetapi, mereka harus tahu tanggungjawab, mesti tahu barang apa yang tiada, jika sekarang ini tiada beras, pergi lah cari di mana-mana gudang.

“Sudah tentu kita bukan mahu ‘bunuh’ peniaga, tetapi peniaga jangalah ‘bunuh’ pengguna. Aktiviti sorok sentiasa berlaku dan mesti ada dalam keadaan begini,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, semalam.

Beliau mengulas mengenai isu kesukaran pengguna untuk mendapatkan beras tempatan di pasaran yang harganya dikawal kerajaan.

Isu berkenaan turut berlaku di beberapa daerah di negeri ini malah tinjauan di beberapa pasar raya mendapati kebanyakan beras yang dijual adalah beras import sahaja.

Vijayakumaran dalam pada itu berpandangan, kerajaan perlu memberi tumpuan sepenuhnya dalam usaha meningkatkan pengeluaran pada tempatan bagi mengatasi masalah yang berlaku.

“Kita kena beri tumpuan kepada tanaman padi dan tingkatkan pengeluaran beras di dalam negara, kerajaan perlu beri perhatian dengan apa yang rakyat hadapi,” katanya. -UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya