KUALA SELANGOR: Kerajaan Selangor mengakui bekalan beras cap Ehsan lima kilogram (kg) keluaran Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) berkurangan antara 10 hingga 15 peratus awal bulan lalu.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, isu kekurangan bekalan itu diperoleh menerusi hasil laporan Jualan Ehsan di seluruh negeri ini.
Jelas beliau, kerajaan negeri menerusi Exco Kemajuan Infrastruktur, Permodenan Pertanian dan Perladangan, zham Hashim dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPRN) diminta memantau lebih teliti isu berkenaan.
“Setakat ini, laporannya tidak begitu kritikal malah saya percaya dapat menanganinya termasuk menambah pengeluaran dari Sekinchan yang menjadi kawasan pengeluaran padi serta beras negeri.
“Jika ada kekurangan (bekalan beras), ia berlaku di satu atau dua gerai jualan yang kehabisan stok kerana kita tidak sempat restock (tambah semula beras yang habis dijual),” katanya ketika ditemui selepas Istiadat Konvokesyen Universiti Selangor (Unisel) kali ke-17, hari ini.
Ditanya sama ada kerajaan negeri bersedia menambah stok bekalan beras bagi Jualan Ehsan Rahmah (JER), kata Amirudin, perkara itu akan dilaksanakan berikutan permintaan tinggi pada masa ini.
“JER akan diteruskan dan apa paling penting kita mahu memastikan bekalan di pasar raya mencukupi.
“Empat outlet ketika ini menjual beras Ehsan mencukupi walaupun mendapat permintaan tinggi kerana harga lebih murah berbanding lain,” ujarnya.
Tambah beliau, kerajaan negeri menyediakan subsidi RM3 bagi setiap lima kg beras Ehsan yang dijual.
“Namun, tiada subsidi beras diberikan bagi pembelian di outlet dan hanya melibatkan JER,” katanya. – UTUSAN