Bendung spesies asing invasif dari peringkat awal

Bendung spesies asing invasif dari peringkat awal

AZAH Hanim Ahmad ketika berucap dalam Program Kesedaran Awam: Jom Kenali IAS baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Spesies asing invasif berpotensi  (IAS) mengancam ekosistem dan biodiversiti negara jika tidak dibendung dari awal. 

Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Azah Hanim Ahmad berkata, IAS merangkumi spesies haiwan, tumbuh-tumbuhan atau mikroorganisma yang dianggap invasif apabila mampu tersebar di luar kawasan sebaran semula jadi.

Katanya, IAS berpotensi membawa impak negatif kepada keseimbangan dan fungsi ekosistem, kepelbagaian biologi dan kesihatan haiwan dan manusia serta ekonomi akibat kerugian di sektor pertanian, penternakan dan perikanan negara.

“IAS boleh memasuki negara kita melalui beberapa kaedah iaitu secara sengaja dengan melalui pengimportan sebagai hobi atau secara penyeludupan. Secara tidak sengaja pula adalah melalui kemasukan komoditi perladangan, pergerakan pelancong, di dalam bagasi, pakaian, peralatan dan jentera.

“Kemasukan secara semulajadi adalah melalui migrasi haiwan, bencana alam atau disebabkan oleh perubahan iklim,” katanya ketika berucap di Program Kesedaran Awam:Jom Kenali IAS, baru-baru ini. 

Sehubungan itu, Azah Hanim berkata,  peranan  Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) dalam mengawal pintu masuk negara amat penting dalam membendung kemasukan IAS.

Pada masa ini, katanya, terdapat 143 IAS yang dikenal pasti di bawah setiap subsektor yang terdiri daripada 57 IAS tumbuhan, 55 IAS haiwan dan penyakit bawaan haiwan dan 31 IAS akuatik.

“Daripada jumlah tersebut, 64 IAS yang dikesan berada di dalam negara meliputi 17 IAS tumbuhan, 19 IAS haiwan dan penyakit bawaan haiwan dan 28 IAS akuatik,” katanya.

Dalam pada itu, kata beliau, tindakan menghapus dan mengawal IAS yang telah memasuki negara menyebabkan peningkatan kos, kerugian kepada negara dan pencemaran serta mengganggu keseimbangan alam sekitar.

“Ini adalah kesan daripada tindakan pengurusan IAS seperti penggunaan racun kimia, penebangan pokok atau tanaman yang diserang IAS secara serius dan sebagainya. 

“Dengan secara tidak langsung menjejaskan produktiviti pokok atau tanaman dan memerlukan penyelenggaraan infrastruktur yang kerap,” katanya. 

Menurutnya, objektif program itu diadakan adalah bagi  mendedah dan meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap IAS yang memberi ancaman kepada khazanah negara.

Selain itu, diharapkan agar program itu dapat mengubah sikap masyarakat agar prihatin terhadap ancaman IAS terhadap ekosistem, ekonomi dan kesihatan dan mendapatkan sokongan bersama dalam menangani isu tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya