KALAU hendak dibahaskan mengenai cara orang lama dan generasi baharu menyesuaikan diri dengan sesuatu perkara atau keadaan, Cik Bunga pasti, kedua-duanya ada respons tersendiri yang tak akan menghubungkan satu persamaan.
Pendek kata, berbeza pendapatlah. Agaknya perbezaan pendapat dan gaya hidup juga membuatkan ada sesetengah golongan ibu muda, macam isteri penyanyi rap dan komposer, Yonnyboii, Nik Nazira, tak berapa gemar hendak ikut sangat cara orang lama berpantang.
Cik Bunga kaitkan hal ini sebab ada kalangan rakan media nampak Nazira sempat hadir ke sebuah acara hiburan baru-baru ini meskipun masih dalam pantang.
Maklumlah, dia pula baru saja melahirkan anak sulung pada 20 Julai lalu. Kalau ikutkan, dia belum benar-benar sihatlah.
Iyalah, orang tua dulu-dulu kata ibu yang baru melahirkan biasanya perlu berpantang selama 44 hari.
Hendak keluar rumah dalam tempoh itu, memang tentu-tentu kena marah. Iyalah, semuanya kerana hendak jaga kesihatan sebagai seorang wanita dan ibu.
Cik Bunga rasa petua dan amalan kesihatan orang dulu-dulu ada manfaat dan khasiatnya. Tetapi, itulah, mungkin tak semua orang mahu ikut. Cik Bunga bukan apa, risau juga dengan Nazira.
Nak buat macam mana, empunya badan pun nampak okey saja. Itu pilihan dialah kan. Cumanya harap-harap dia dan Yonny baik-baik saja.
Oh ya, selamat menjadi ibu dan ayah ya! Sempat lagi kan Cik Bunga berikan ucapan.