Belanjawan 2024: Suntik RM50 bilion tangani isu keterjaminan makanan - Utusan Malaysia

Belanjawan 2024: Suntik RM50 bilion tangani isu keterjaminan makanan

Shamshul Anaz Kassim
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Kerajaan perlu memperuntukan lebih RM50 bilion di dalam Belanjawan 2024 bagi menangani isu keterjaminan makanan negara yang dilihat semakin kritikal.

Antara lain, krisis peperangan, perubahan iklim dan ketidaktentuan pasaran global pada masa kini memberi kesan mendalam kepada sektor makanan dunia termasuk di negara ini.

Akibatnya, harga barangan makanan di Malaysia terus melonjak naik sekali gus telah menjejaskan bekalan makanan dan kemampuan rakyat untuk membeli barangan keperluan itu.

Kebimbangan berkenaan ditambah dengan makanan asasi atau ruji yang berkurangan di pasaran terutamanya beras.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, pensyarah kanan Fakulti Pengurusan dan Perniagaan Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Perlis, Dr. Shamshul Anaz Kassim berkata, difahamkan berlaku peningkatan import barangan keperluan terutama produk makanan melebihi kadar 80 peratus yang sekali gus memberi kesan kepada kenaikan harga makanan.

Katanya, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (2022), sebanyak 184 item makanan daripada keseluruhan 552 item dalam bakul Indeks Harga Pengguna (IHP) telah mencatatkan peningkatan.

“Diantaranya ialah seperti sayur-sayuran, daging, ikan, makan ternakan, susu, keju, telur, minyak dan lemak, ikan, makanan laut, terung, tembikai dan hidupan laut.

“Begitu juga dengan Indeks Harga Makanan telah mencecah 159.7 peratus pada bulan Mac, iaitu kenaikan sebanyak 17.7 peratus berbanding dengan bulan Januari. Diantaranya ialah sayur-sayuran, daging, ikan, makan ternakan, susu, keju, telur, minyak dan lemak, ikan, makanan laut, terung, tembikai dan hidupan laut,” katanya.

Tambah beliau, menurut Global Hunger Index (2021), Malaysia berada di tangga ke-58 daripada 121 buah negara dengan skor 12.5 iaitu menunjukkan tahap situasi kelaparan di Malaysia berada di paras yang sederhana.

Katanya, jika krisis makanan dan kenaikan harga barang makanan semakin berlarutan menyebabkan semua golongan tidak kira T20, M40 dan B40 menjadi semakin sengsara kerana tiada keseimbangan dan setimpal dengan gaji yang diterima ketika ini.

Justeru, katanya, saranan keterjaminan makanan di Malaysia perlu diadakan segera agar bekalan makanan dan stok makanan terjamin stabil.

“Isu keterjaminan makanan di Malaysia merupakan perkara yang amat penting dan harus diberi perhatian serius oleh pihak berkuasa, industri makanan dan masyarakat,” katanya.

Seterusnya beliau mengariskan cadangan dalam isu berkenaan antaranya utilisasi tanah seharusnya digunakan secara optimum memandangkan Malaysia memiliki sumber alam yang subur.

Katanya, aktiviti pertanian dan penternakan juga perlu dipergiatkan bagi menampung keperluan makanan domestik

“Suntikan teknologi moden juga wajar diperluaskan kepada kelompok petani dan pengusaha kecil-kecilan dan besar agar mereka juga dapat menyumbang dalam kapasiti yang besar kepada bekalan makanan. Aksesibiliti makanan yang lebih efisien merupakan salah satu faktor untuk menjamin sekuriti makanan.

“Selain itu, mekanisme harga makanan seharusnya dikawal dan dipantau oleh kerajaan secara konsisten. Trend penggunaan makanan dalam kalangan masyarakat juga sewajarnya perlu bersederhana untuk mengelak pembaziran makanan.

“Malah, sistem pemantauan yang berkesan perlu ada peningkatan dalam pengawasan dan ujian keselamatan makanan, terutamanya pada produk makanan yang diimport. Peluang di pasaran global, Malaysia juga mempunyai peluang untuk memperluaskan eksport makanan ke pasaran global,” katanya.

Katanya lagi, secara kesimpulan, kerajaan Malaysia harus memberi lebih peruntukan pada Belanjawan 2024 terhadap sektor makanan iaitu melebihi RM50 bilion bagi menjamin kestabilan sekuriti makanan.

“Ia sewajarnya dipandang serius dan ditangani bersama-sama oleh semua pihak di peringkat negara, pembuat dasar, pengeluar, pengilang dan pengguna.

“Sinergi antara kesemua pihak ini penting bagi memastikan kelestarian kecukupan bekalan makanan, aksesibiliti makanan dan kualiti makanan. Hal ini secara tidak langsung mengelakkan situasi kelaparan dan kekurangan zat berlaku di Malaysia,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN