Belanjawan 2024; Kerajaan fokus perkasakan M40, PKS - Utusan Malaysia

Belanjawan 2024; Kerajaan fokus perkasakan M40, PKS

STEVEN Sim (empat, kanan) pada Program Jelajah Belanjawan 2024 di sebuah hotel di Bukit Mertajam, Pulau Pinang hari ini. - Pix: SITI NUR MAS ERAH AMRAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

BUKIT MERTAJAM: Kerajaan merancakkan usaha meningkatkan kebajikan serta taraf hidup golongan M40 menerusi Belanjawan 2024 yang dijadualkan dibentang di Parlimen, bulan depan.

Timbalan Menteri Kewangan II, Steven Sim walau bagaimanapun berkata, usaha memperkasakan golongan itu adalah kesinambungan Belanjawan 2023 lalu yang memfokuskan kepada ekonomi rakyat.

“Antara perkara utama yang kita mahu tangani dalam masa terdekat adalah bagaimana untuk memperkukuhkan ekonomi golongan M40 ini.

“Golongan ini yang paling banyak terjejas semasa pandemik lalu dan salah satu fokus utama adalah memperkasakan mereka.

“Oleh itu, fokus utama Belanjawan 2024 dalam menangani beban kos sara hidup bukan hanya setakat menurunkan harga barangan semata-mata, tetapi bagaimana untuk menaikkan gaji pekerja serta meningkatkan pendapatan perniagaan di negara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Jelajah Belanjawan 2024 Peringkat Negeri Pulau Pinang di sini hari ini.

Seramai 300 individu terdiri daripada penjawat awam, swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkongsi pandangan dan idea bagi memastikan penyediaan Belanjawan 2024 lebih menyeluruh sekali gus memenuhi hasrat segenap lapisan masyarakat.

Dalam pada itu, Steven yang juga Ahli Parlimen Bukit Mertajam berkata, pemerkasaan usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) turut diperhebat bagi membantu menjana ekonomi negara.

“Dalam siri jelajah sebelum ini, saya terima beberapa aduan yang mana usahawan tempatan dilihat sebagai kelas kedua susulan kerajaan memfokuskan pelaburan langsung asing (FDI) yang membuatkan mereka rasa terabai.

“Justeru, kita menetapkan Pelaburan Langsung Domestik (DDI) sebagai antara Petunjuk Prestasi Utama (KPI) bagi menjana jumlah pelaburan negara.

“Dalam mengejar FDI yang baik untuk meningkatkan pertumbuhan ekonomi negara, pada masa sama kita tidak boleh mengabaikan pelaburan usahawan setempat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya