IPOH: Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) mencadangkan inisiatif kewangan sebanyak RM300 juta diperuntukkan bagi membina tandas awam bertaraf ‘Bersih, Menawan, Wangi’ atau ‘BMW’ di seluruh negara dalam Belanjawan 2024.
Menterinya, Nga Kor Ming berkata, cadangan inisiatif tersebut merupakan antara 29 inisiatif yang dicadang kementerian itu untuk membawa agenda reformasi kemudahan awam negara.
Menurutnya, inisiatif itu dicadangkan dalam pertemuan kementerian dengan Ketua Setiausaha Perbendaharaan Negara.
“Permohonan peruntukan RM300 juta untuk membina tandas awam BMW di seluruh negara ini untuk diagihkan semua 155 pihak berkuasa tempatan.
“Lampu tandas awam juga akan ditukar kepada LED atau menggunakan tenaga solar yang lebih lestari, mampan dan hijau,” katanya.
Beliau ditemui pemberita pada lawatan di Pangsapuri Seri Kepayang di sini semalam.
Sementara itu, Kor Ming berkata, sebanyak RM8.5 juta disalurkan kepada Lembaga Perumahan dan Hartanah (LPHP) Perak bagi kerja-kerja mengecat bangunan, penggantian bumbung, baik pulih, penggantian pagar serta penyelenggaran lif rumah pangsa sekitar Tambun di sini, Taiping dan Teluk Intan.
Katanya, sebelum ini sebanyak RM5.78 juta sudah dibayar dan 11 lagi projek penyelenggaraan perumahan PPP tambahan diluluskan bagi negeri Perak untuk tahun ini.
“Sebanyak RM8.5 juta akan disalurkan kepada LPHP, RM5.78 juta daripadanya sudah dibayar dan hari ini saya meluluskan 11 lagi projek penyelenggaraan perumahan PPP tambahan bagi negeri Perak untuk tahun ini.
“Penyelenggaraan antaranya melibatkan Pangsapuri Kamunting, Rumah Pangsa Buntong Permai, Rumah Pangsa Pasir Puteh, Rumah Pangsa Jalan Hospital, Pangsapuri Seri Kepayang dan beberapa lagi,” katanya.
Katanya, peruntukan tersebut juga untuk menaik taraf sistem perparitan, membina parkir motosikal, menaik taraf pencahayaan dan mengganti tangki air. – UTUSAN