ALOR SETAR: Dua agensi penguatkuasaan mengesahkan bahawa bekalan beras tempatan di Kedah masih stabil dan mencukupi untuk memenuhi permintaan daripada pengguna.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Kawal Selia Padi dan Beras Kedah, Mohamad Nornizam Ramly berkata, pihaknya sentiasa melakukan pemantauan selain menyemak setiap aduan dibuat pengguna di negeri ini.
Menurutnya, terdapat kira-kira tiga aduan diterima setakat ini dengan salah satu daripadanya mendakwa penjual telah menukar gambar beras tempatan di lokasi jualan dengan niat tertentu.
“Bagaimanapun siasatan kami menunjukkan bahawa gambar tersebut sebenarnya hanyalah gambar lama. Lain-lain aduan masih dalam siasatan.
“Pemantauan kami mendapati setakat ini bekalan beras tempatan mencukupi. Harganya juga tidak berubah dan peruncit dilihat patuh dengan harga ditetapkan iaitu RM2.60 sekilogram,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Tinjauan akhbar ini semalam mendapati, hanya sebilangan premis yang masih menawarkan stok bekalan beras tempatan bagi kampit lima kilogram (kg) manakala tiada langsung stok untuk kampit 10kg.
Baru-baru ini, Presiden Persatuan Pengguna Kedah (Cake), Mohd. Yusrizal Yusoff juga mendakwa, berlaku kekurangan bekalan beras tempatan di semua daerah dalam negeri ini.
Malah, rungutan sama turut diterima daripada rakan-rakan persatuan pengguna dari negeri lain.
Sementara itu, Pengarah Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah, Affendi Rajini Kanth memaklumkan, pihaknya setakat ini tidak menerima sebarang aduan rasmi berhubung kekurangan bekalan beras di negeri ini.
Namun katanya, KPDN Kedah sentiasa mengalu-alukan sebarang aduan daripada orang ramai sekiranya timbul sebarang isu berhubung isu berkenaan.
“Walaupun perkara ini terletak di bawah bidang kuasa Kawal Selia Padi dan Beras, namun kami akan tetap memantau terutamanya jika terima aduan pengguna. Setakat hari ini, kami tidak menerima sebarang aduan rasmi daripada pengguna menyatakan bekalan beras tidak mencukupi di tempat mereka.
“Cumanya baru-baru ini ada komen di Facebook menyatakan beras tempatan tiada di Langkawi dan sudah dua bulan dia terpaksa beli beras import berharga RM34 untuk 10 kilogram.
“Saya terus mengarahkan pihak penguatkuasa di Langkawi membuat pemantauan dan didapati bekalan beras tempatan di pulau pelancongan itu tidak terjejas,” katanya.-UTUSAN