TELUK INTAN: Beca menjadi pilihan pelancong untuk mengelilingi pemandangan bandar Teluk Intan yang sinonim dengan Menara Condong.
Seorang pelancong dari Baling, Kedah, Wan Dauh, 56, yang melancong di sini bersama isterinya berkata, mereka memilih menaiki beca mengelilingi bandar Teluk Intan.
Menurutnya, dengan cara itu mereka dapat melihat dengan lebih dekat suasana dan tempat-tempat menarik di bandar ini.
Katanya, mereka berpuas hati kerana dapat melihat suasana bandar ini yang semakin maju dan berwarna warni.
“Kami memilih menaiki beca mengeliling bandar ini, cara ini lebih menyeronokkan dan kami dapat melihat banyak tempat menarik di sini.
“Dengan menaiki beca, kami dapat menghayati suasana di bandar ini dan bayaran menaiki beca yang dikenakan pun murah iaitu RM10 sahaja,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurutnya, cuma dia agak kecewa kerana tidak dapat masuk untuk melihat dari dekat Istana Raja Muda Perak di Jalan Syed Abu Bakar di sini.
“Saya peminat sejarah dan apabila dapat tahu di sini ada bangunan istana raja muda, saya ke istana itu namun kecewa, sedih melihat keadaannya yang tidak dijaga, malah nak masuk ke dalam kawasan istana pun pintunya berkunci.
“Saya tak kisah sama ada istana itu berhutan atau tidak, cantik atau tidak, tapi lebih kecewa kerana tak dapat masuk untuk melihat keadaan istana ini dari dekat.
“Saya harap istana itu perlu dibaik pulih supaya pelancong lebih banyak pilihan apabila melawat bandar ini dan tidak hanya terhad melawat Menara Condong sahaja. Lebih penting, bangunan ini perlu dibaik pulih sebagai mengenang warisan sejarah kesultanan Perak,” katanya.
Sementara itu, pemandu pelancong di Menara Condong, Hisham Sahak, 44, yang membawa pelancong menaiki beca mengeliling bandar ini berkata, kedatangan pelancong semakin bertambah semasa cuti sekolah.
Katanya, ini secara tidak langsung memberikan pendapatan kepada pengusaha pelancongan sepertinya.
“Musim cuti sekolah kali ini memang ramai pelancong yang datang ke bandar ini, lokasi tumpuan mereka sudah tentu Menara Condong, namun ramai juga yang mahu bersiar-siar di bandar ini dengan menaiki beca, kata mereka naik beca lebih seronok.
“Kedatangan pelancong memberikan rezeki kepada kami sebagai pengusaha pelancong dan bagi saya yang membawa beca, saya tetap mengutamakan keseronokan pelancong semasa menaiki beca saya,” katanya.-UTUSAN