KEPALA BATAS: Basikal ‘kebal’ yang dihiasi Jalur Gemilang menyemarakkan semangat patriotisme buat Muhammad Haikal Muhammad Naquib,12, meraikan Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia tahun ini.
Murid Tahun Enam Sekolah Kebangsaan Permatang Sintok, Penaga itu berkata, ‘transformasi’ basikal yang dijadikan replika kereta kebal itu berjaya disiapkan dalam tempoh tiga hari.
Katanya, barangan yang digunakan antaranya paip PVC dan pengikat kabel (cable tie) mengukuhkan struktur model kereta kebal berkenaan.
“Semua barang yang saya gunakan ini adalah milik ayah saya, cuma tambah beli Jalur Gemilang sahaja untuk hias basikal ini.
“Basikal ini kakak yang beri kepada saya manakala idea untuk menghasilkan kereta kebal adalah idea sendiri dan kawan.
“Ia menjadi simbol semangat patriotik dan sumber kekuatan sempena sambutan Hari Kebangsaan kali ini,” katanya.
Muhammad Haiqal adalah antara lebih 400 murid yang menyertai Majlis Penutupan Bulan Kemerdekaan di sekolah terbabit, di sini hari ini.
Terdahulu, pelbagai aktiviti dijalankan antaranya perarakan basikal dan pertandingan pakaian beragam, deklamasi sajak malah ibu bapa turut hadir bagi memberikan sokongan.
Sementara itu, Guru Besar, Zamri Ismail berkata, program terbabit dirancang dua minggu lalu dan sambutan yang diberikan murid amat menggalakkan.
“Tahun lepas kami telah anjurkan program yang sama, namun tahun ini, kemeriahannya ternyata berbeza sekali apatah lagi ibu bapa turut sama-sama berkongsi semangat kemerdekaan.
“Kreativiti anak-anak ni memang luar biasa dan cara mereka tonjolkan rasa patriotisme itu berbeza.
“Kita turut mengadakan perarakan berbasikal keliling kampung sejauh dua kilometer diiringi penduduk kampung,” katanya. – UTUSAN