KANGAR: Dalam mendepani empat lagi baki perlawanan saingan Liga M3 musim ini, pasukan Perlis United FC (PUFC) kini berdepan masalah tunggakan gaji dan berharap ia mendapat perhatian dan bantuan khususnya daripada kerajaan negeri.
Masalah tunggakan gaji bagi bulan Ogos itu sedikit sebanyak telah merencatkan momentum dan prestasi pemain pasukan berkenaan yang kini berada pada kedudukan ketujuh dari 13 pasukan yang bertanding.
Penolong Pengurus Perlis United, Muhamad Khairulnizam Haris berkata, situasi tersebut juga menjejaskan pemain-pemain bagi menyara keluarga dan meneruskan kelangsungan hidup susulan daripada tunggakan selama sebulan tersebut.
“Sebanyak RM100,000 diperlukan bagi membayar tunggakan gaji yang sememangnya amat memberi kesan kepada pihak pengurusan dan pemain.
“Ada pemain yang baharu sahaja menerima kehadiran bayi baharu dan mereka juga perlu membayar komitmen bayaran sewa rumah sewa, kereta dan pelbagai lagi,” katanya.
Terdahulu, Muhamad Khairulnizam bersama pengurusan Perlis United turut menghantar memorandum kepada Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Muhammad Azmir Azizan berhubung isu tunggakan gaji tersebut selain berharap beberapa sokongan lain.
Mengulas lanjut, Muhamad Khairulnizam berkata, kehadiran pemain pasukan itu dalam sesi latihan juga semakin merosot berikutan daripada permasalahan tersebut yang sedikit sebanyak menjejaskan motivasi mereka.
“Perkembangan ini amat merugikan pasukan yang sedang berada pada landasan terbaik bagi menamatkan saingan dalam Liga M3 musim ini. Dan sekiranya Perlis United menarik diri daripada saingan musim ini, kita akan berdepan hukuman penggantungan selama tiga tahun,” katanya.
Dalam pada itu, Muhamad Khairulnizam berkata, selain tunggakan gaji, pasukan itu turut berdepan masalah venue perlawanan yang sering kali berdepan dengan isu birokrasi pihak tertentu.
Katanya, terdapat dua venue perlawanan yang telah didaftarkan dengan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) sebagai lokasi perlawanan Perlis United iaitu padang Universiti Teknologi Mara (UiTM) Arau dan Universiti Malaysia Perlis (Unimap).
“Bagi padang UiTM, kami sering berdepan masalah perlu menukar venue pada saat akhir walaupun telah membuat pemberitahuan sejak awal. Manakala bagi padang Unimap pula, sewaannya juga agak mahal dan menyukarkan pasukan ini walaupun kami ini membawa nama Perlis dalam saingan liga berkenaan,” katanya.
Tambahnya, Perlis United juga dilihat bersendirian dalam mengurus perjalanan pasukan malah tanpa bantuan mana-mana pihak, ia akan merencatkan sasaran untuk mara ke saingan Liga Super 2024.
“Sekiranya ada sokongan kukuh dari kerajaan negeri, pastinya impian itu dapat direalisasikan,” katanya.-UTUSAN