Banjir: Wanita hampir lemas terjatuh daripada sampan 

Banjir: Wanita hampir lemas terjatuh daripada sampan 

KEADAAN rumah Siti Aishah Mohd Sabri yang masih ditenggelami air akibat banjir kilat di Kampung Charuk Akar, Mukim Tawar, Baling.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BALING: Seorang wanita hampir lemas apabila sampan yang dinaikinya terbalik semasa operasi menyelamat dilakukan dalam kejadian banjir kilat di Kampung Charuk Akar, Mukim Tawar, semalam.

Siti Aishah Mohd. Sabri, 23, berkata, kejadian sekitar pukul 11 malam itu berlaku ketika dia bersama suami, Mohd Isa Hashim, 33, dan anak bongsunya, Razif Izhan Mohd Isa, 2, sedang menaiki sampan yang dibawa penduduk untuk ke tempat yang lebih selamat.

“Ketika hendak melangkah menaiki bot itu, tiba-tiba sampan senget dan saya terjatuh ke dalam air dan hampir lemas kerana tenggelam. Mujur suami yang sedang memegang sampan sempat tarik saya.

“Habis semua barang-barang yang saya bawa terjatuh ke dalam air termasuk telefon. Nasib saya selamat, jika tidak, saya tidak tahu apa akan jadi kepada saya dalam air yang arusnya deras ketika itu,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.

Menurutnya, hujan bermula kira-kira pukul 3 petang sebelum air mulai masuk dan naik ke dalam rumah sekitar pukul 6.30 petang.

“Waktu itu, saya berada di rumah melihat keadaan hujan yang agak lebat, tiba-tiba, dalam masa lima minit, air Sungai Tawar yang jaraknya lebih kurang 100 meter dari rumah masuk ke dalam rumah sehingga paras betis.

“Saya berusaha mengubah kereta ke tempat selamat, apabila suami balik sekitar pukul 7 petang, air dah naik ke paras pinggang, dua jam kemudian, terus melepasi paras kepala dan kami menyelamatkan diri dengan naik ke rumah di tingkat atas,” katanya.

Mangsa dari Kampung Tawar, Hamidah Husain, 57, berkata, hujan bermula sejak pagi hingga ke petang menyebabkan rumahnya turut ditenggelami banjir kilat.

“Selepas waktu Maghrib, air naik mendadak hingga paras lutut. Waktu itu, saya membantu bapa, Husain Md. Nor, 90, yang tinggal di sebelah rumah kerana banjir terlebih dahulu memasuki rumahnya.

“Saya ingat banjir hanya paras lutut sahaja, tetapi lama kelamaan air semakin naik hingga hampir melepasi pinggang,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintenden Shamsudin Mamat berkata, Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang dibuka di Masjid Islahiyah Tawar diteruskan operasi memandangkan keadaan cuaca yang tidak begitu baik sebagai persediaan menghadapi banjir sekiranya berlaku lagi.

“Semalam, seramai 32 buah keluarga yang melibatkan 91 mangsa ditempatkan di PPS ini, dan pagi tadi, ramai mangsa balik ke rumah masing-masing kecuali sebuah keluarga yang masih berada di sini kerana rumahnya masih ditenggelami air.

“Sebuah lagi PPS dibuka di Masjid Binjul Luar, Mukim Tawar yang melibatkan dua keluarga dengan bilangan ahlinya 11 orang dan mereka juga pulang ke rumah pagi tadi, namun, PPS ini juga masih dibuka,” katanya.

Tambahnya, hujan lebat sekitar daerah Baling menyebabkan air sungai melimpah ke tebing dengan cepat hingga menyebabkan berlakunya banjir kilat dan memasuki penempatan penduduk di kawasan rendah.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya