PUTRAJAYA: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar menzahirkan ucapan takziah kepada Kerajaan Libya dan seluruh rakyatnya ekoran kejadian banjir besar setelah berlakunya Ribut Daniel.
Beliau pada masa sama mengajak umat Islam sama-sama berdoa agar Allah mengurniakan keampunan dan kerahmatan kepada mangsa yang meninggal dunia.
“Semoga Allah mengurniakan kesabaran serta mempermudahkan segala urusan ahli keluarga dan rakyat yang terkesan dengan tragedi luar jangka ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam kejadian yang meragut lebih 2,000 nyawa selain ramai lagi dikhuatiri hilang, Ketua Majlis Presiden Libya, Mohamed Menfi, memohon bantuan antarabangsa untuk menyokong usaha mereka di kawasan dilanda bencana.
Menfi berkata, bandar di timur, Derna, Al-Bayda dan Shahhat adalah antara yang paling teruk terjejas dan beliau menggesa penduduk setempat mematuhi arahan pihak berkuasa bagi mengatasi krisis yang dihadapi.
Ribut Mediterranean, Daniel, yang melanda timur Libya pada Ahad menyebabkan banjir besar yang memusnahkan apa saja dalam laluannya.
Jurucakap pentadbiran yang berpangkalan di Benghazi, Libya, Mohamed Massoud berkata, kebanyakan mangsa terperangkap akibat banjir dan hujan lebat dibawa Taufan Daniel di Derna, wilayah Jabal al-Akhdar dan pinggir bandar Al-Marj.
Kerajaan Hamad, yang menentang pentadbiran peralihan Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) diiktiraf di peringkat antarabangsa di Tripoli, mengisytiharkan Derna sebagai ‘kawasan bencana’.
Pakar menyifatkan ribut Daniel yang turut melanda sebahagian Greece, Turkiye dan Bulgaria sejak beberapa hari kebelakangan ini, sebagai ‘cuaca melampau’ dari segi jumlah air hujan yang diterima dalam tempoh 24 jam.
Ribut itu melanda timur Libya petang semalam, terutamanya bandar pantai Jabal al-Akhdar selain Benghazi, di mana perintah berkurung diisytiharkan dan sekolah ditutup selama beberapa hari. – UTUSAN