BAGAN SERAI: Banjir yang melanda Kampung Matang Tengah di sini sejak semalam dipercayai berpunca daripada ban tali air dalam pembinaan berhampiran kampung itu yang runtuh sepanjang hampir tujuh meter.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alor Pongsu, Noor Azman Ghazali berkata, projek pembinaan ban itu dikelola oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan dijangka siap hujung November ini.
“Ban yang sedang dibina itu telah terputus menyebabkan air sungai melimpah hingga ke Kampung Matang Tengah dan air masuk hingga ke rumah penduduk,” katanya kepada pemberita di sini.
Menurutnya, susulan kejadian itu, sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka pada pukul 5 petang semalam di Sekolah Kebangsaan Changkat Lobak di sini.
Katanya, berikutan kejadian ban runtuh itu, Bahagian Teknikal JPS membaiki kerosakan tersebut dengan segera.
“Ia perlu ditangani segera oleh pihak JPS, saya khuatir jika lewat bertindak berkemungkinan boleh menyebabkan berlaku yang banjir yang lebih besar seperti tahun 2021,” katanya.
Sementara itu, setakat pagi ini, seramai 33 orang daripada tujuh buah keluarga ditempatkan di PPS di SK Changkat Lobak.
Sementara itu, tinjauan di Kilometer 15 Jalan Selama-Alor Pongsu di sini mendapati laluan itu dinaiki sedalam kira-kira 0.20 meter dan tidak boleh dilalui kenderaan ringan. – UTUSAN