SHAH ALAM: Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dilantik sebagai Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor.
Pengumuman itu dibuat Speaker DUN Selangor, Lau Weng San pada Mesyuarat Pertama (Angkat Sumpah) Penggal Pertama DUN Selangor ke-15.
Weng San memberitahu, pihaknya menerima surat daripada Perikatan Nasional (PN) Selangor pada 15 September lalu untuk mencalonkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kelang itu sebagai Ketua Pembangkang.
Pada penggal lalu Jawatan Ketua Pembangkang disandang ADUN Sungai Air Tawar dari Barisan Nasional (BN), Datuk Rizam Ismail, bagaimanapun Pakatan Harapan (PH) dan BN bergabung pada pilihan raya negeri (PRN).
Gabungan PH dan BN kemudiannya memenangi PRN pada 12 Ogos lalu selepas menguasai 34 daripada 56 DUN, sekali gus membentuk kerajaan negeri bagi penggal ke-15. – UTUSAN