PETALING JAYA: Pemberian Khas Kepada Pesara (PKKP) perlu diteruskan dalam menarik penyertaan bukan bumiputera memilih Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sebagai kerjaya.
Presiden Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia, Datuk Sharuddin Omar berkata, langkah itu antara strategi yang boleh ditawarkan selain memberi peluang kepada anggota dan pegawai menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi.
Katanya, kerajaan menerusi Kementerian Pertahanan perlu mencari strategi baharu yang relevan dan diyakini dapat menarik golongan tersebut untuk menyertai pasukan beruniform itu.
“Kerajaan semasa era Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi memegang jawatan sebagai Menteri Pertahanan pada 2009 tidak disambut bukan bumiputera.
“Apabila Datuk Seri Mohamad Hassan menjadi Menteri Pertahanan terus menyeru bukan Melayu menyertai ATM tetapi perkara sama berlaku iaitu tiada maklum balas,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.
Menurut Sharuddin, kerajaan mungkin memerlukan strategi lain untuk menarik minat bukan Melayu menyertai perkhidmatan ATM selepas strategi-strategi sebelum ini gagal.
Terdahulu Mohamad menyeru bukan bumiputera menyertai ATM terutamanya dalam pasukan tentera darat ekoran jumlah penyertaan mereka rendah.
Beliau menyasarkan seramai 10 peratus penyertaan daripada bukan bumiputera apabila kerajaan mengambil langkah menambah baik perkhidmatan dan emolumen dalam sektor tersebut.
Setakat 2020, peratusan bukan bumiputera yang berkhidmat dalam ATM adalah 14.49 peratus daripada jumlah keseluruhan kekuatan.
Dalam pada itu, terdapat 20 hingga 25 peratus kemasukan calon bukan bumiputera menyertai tentera darat setiap tahun sejak dari 2017 hingga 2020.
ATM juga menyasarkan 5,000 perajurit muda setiap tahun dengan kadar pengambilan tiga kali bermula 2024.
Selain itu kata Sharuddin, kerajaan perlu melihat semula dasar sedia ada terhadap veteran ATM yang dibimbangi menjadi faktor penyumbang kekurangan penyertaan anak muda atau anak anggota veteran ke dalam perkhidmatan itu.
Kata beliau, kajian harus dilakukan secara menyeluruh bagi mengelak lebih ramai anak muda enggan menyertai ATM. – UTUSAN