ALOR SETAR: Kerajaan diminta membuat satu ketetapan untuk mengasingkan kilang-kilang yang mengeluarkan beras tempatan dan import supaya memudahkan penguatkuasaan selain mengelak penyelewengan dilakukan pemain industri.
Presiden Persatuan Pengguna Kedah (Cake), Mohd. Yusrizal Yusoff berkata, tindakan sedemikian mampu menghentikan aktiviti segelintir pengilang daripada melakukan ‘penyalinan baju’ dengan melabel beras tempatan sebagai beras import.
Katanya, ketika ini ada dalam kalangan pengilang yang mendapat lesen import (AP) turut mengusahakan beras tempatan dan tindakan mereka meletakkan kedua-dua beras dalam satu gudang sama membawa kepada pelbagai kemungkinan selain menyukarkan penguatkuasaan.
“Jika sesebuah kilang sudah usahakan beras import, mereka tak perlulah usahakan beras tempatan lagi. Beri peluang itu kepada kilang lain termasuk kilang-kilang kecil yang kini banyak sudah gulung tikar kerana sukar bersaing bagi mendapatkan stok padi.
“Kita bukan menuduh tetapi dalam keadaan sekarang ke mana perginya beras-beras tempatan sedangkan komposisi beras tempatan adalah 70 peratus dan beras import 30 peratus. Mengapa di pasaran sekarang ini beras tempatan hilang tetapi beras import berlambak-lambak dengan harganya meningkat mendadak.
“Dalam keadaan beras tempatan dan import diletakkan dalam satu gudang sama seperti sekarang, macam-macam boleh berlaku dan di pihak penguatkuasaan pula, sudah beberapa kali dimaklumkan yang mereka kurang kakitangan. Maka jika kilang untuk beras import dan tempatan ini diasingkan, setidak-tidaknya ia memudahkan kerja-kerja pemantauan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melakukan pemantauan terhadap penjualan beras tempatan di sebuah pasar raya berdekatan Pasar Besar Alor Setar di sini, hari ini.
Melalui pemantauan dilakukan, beras tempatan tidak kelihatan di rak pasar raya tersebut, mamun beras-beras import yang berharga lebih RM30 memenuhi ruangan jualan.
Tambah Mohd. Yusrizal, kerajaan juga boleh menetapkan larangan supaya beras-beras yang diimport tidak dipek semula di negara ini bagi memastikan ia tidak dicampur dengan beras tempatan.
“Langkah tersebut bagi memastikan bungkusan asal tidak langsung dibuka dan itu sudah tentu mampu mengelakkan penyelewengan. Jual saja beras import dalam bungkusan asal dari negara berkenaan kepada pengguna.
“Kita harap cadangan-cadangan ini dapat dilaksanakan segera kerana maklumat mengenai kekurangan beras tempatan ini bukan baru sebaliknya sejak tiga bulan lalu kita dengar. Skuad pemantau kami memaklumkan kekurangan beras tempatan ini berlaku di semua daerah dalam Kedah dan rakan-rakan persatuan pengguna dari negeri lain juga menyatakan perkara sama,” katanya.
Dalam pada itu, pihaknya turut meminta agar Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dapat menyambung hasrat bekas menteri, Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub untuk menambah bekalan minyak masak bersubsidi dalam paket kepada negeri-negeri miskin seperti Kelantan, Terengganu dan Kedah.
“Sebelum ini minyak masak paket memang ada tetapi kebelakangan ini berkurang. Apabila ditanya kepada peruncit mereka kata pemborong kurang hantar/ Jadi Cake harap KPDN beri perhatian terhadap perkara ini,” katanya. –UTUSAN