JASIN: Kerajaan negeri akan memperkenalkan aplikasi pertanian pintar atau smart farming pertama di negara ini bagi membantu golongan petani, peladang dan industri hiliran memasarkan hasil tanpa menggunakan orang tengah.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Melaka, Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, Melaka bakal menjadi perintis untuk pembangunan aplikasi tersebut sebelum dikembangkan ke seluruh negara.
Menurutnya, anggaran kos pembangunan adalah sebanyak RM2.5 juta diusahakan sebuah syarikat swasta yang dijangka dilancarkan tahun hadapan serta dikelola Jabatan Pertanian negeri.
Beliau berkata, antara tujuan utama ia diperkenalkan adalah untuk membantu meningkatkan pendapatan petani yang sebelum ini dimonopoli orang tengah sehingga mengaut keuntungan berlipat kali ganda.
“Jadi aplikasi ini dapat membantu mengurangkan peranan orang tengah yang mengaut keuntungan berlipat kali ganda. Aplikasi ini macam konsep penghantaran makanan. Petani boleh daftar dan pengguna boleh muat turun aplikasi ini.
“Insya-Allah dalam bajet akan datang kita harap permohonan dapat diluluskan untuk membangunkan dengan kos RM2.5 juta
“Aplikasi ini juga dapat membantu meringankan beban petani dan pengguna, selain dapat mengawal lambakan hasil petani,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Ladang dan Program Pertanian Bandar Peringkat Daerah Jasin di Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Selandar di sini, hari ini.
Tambah Muhamad Akmal, beliau yakin aplikasi itu dapat membantu petani mendapatkan keuntungan lebih tinggi tanpa kebergantungan kepada orang tengah.
Menurutnya, sebagai permulaan ia akan diperkenalkan kepada lebih 1,200 petani di negeri ini sebelum diperluaskan bagi sektor penternakan dan perikanan.
Katanya, pengguna juga boleh membeli pelbagai jenis sayuran segar dari ladang dengan harga lebih murah manakala petani pula dapat memasarkan produk seterusnya mengurangkan lambakan. – UTUSAN