PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isterinya, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail tiba di lokasi Sidang Kemuncak ASEAN ke-43, di Jakarta, Indonesia.
Pasangan pemimpin itu dilaporkan tiba di Pusat Konvensyen Jakarta (JCC) di Senayan, disambut Presiden Indonesia, Joko Widodo dan isteri, Iriana serta Menteri Luar, Retno Marsudi.
Anwar mengetuai delegasi Malaysia ke sidang kemuncak ASEAN dan sidang-sidang kemuncak berkaitan bermula hari ini hingga Khamis.
Indonesia bertindak sebagai Pengerusi ASEAN di bawah tema “ASEAN Matters: Epicentrum of Growth”.
Anwar akan menyertai Sidang Kemuncak ASEAN ke-43 dan perasmian Forum ASEAN-Indo Pasifik (AIPF) serta mengadakan pertemuan dengan rakyat Malaysia di Indonesia, dan sahabat-sahabat Indonesia dalam Program Temu Anwar.
Semalam, Anwar melahirkan harapan bahawa penyertaan Malaysia pada sidang kemuncak tahunan itu akan mengukuhkan lagi Kepusatan ASEAN di rantau Indo-Pasifik dan menggalakkan keterangkuman serta keterbukaan ASEAN dalam menjalin hubungan dengan rakan luar.
“Platform ini dapat menggalakkan kebersamaan, keamanan dan kestabilan tatkala menghadapi cabaran dan perubahan evolusi geopolitik serantau,” katanya. – UTUSAN