PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isterinya, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno Hatta di Tangerang, Banten, Jakarta bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN Ke-43 dan sidang-sidang kemuncak berkaitan yang akan bermula esok.
Menurut Anwar, ketibaan beliau dan Azizah disambut Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz serta Duta Besar Malaysia ke Indonesia, Datuk Syed Md. Hasrin Tengku Hussin.
“Insya-Allah, saya akan mengetuai delegasi Malaysia ke sidang kemuncak dari 5 hingga 7 September selain mengadakan beberapa pertemuan dua hala bersama Rakan Dialog ASEAN antaranya Australia, China, Jepun, India, Korea Selatan, Amerika Syarikat dan Kanada.
“Platform ini juga akan saya gunakan bagi menyatakan hala tuju kerajaan berkaitan isu glokal yang terkait, selain menyertai beberapa siri sidang kemuncak dalam mengukuhkan jaringan diplomatik yang sekian lama terjalin dengan rakan-rakan ASEAN,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Anwar berharap, penyertaan Malaysia ke Sidang Kemuncak kali ini akan dapat mengukuhkan lagi Kepusatan ASEAN di rantau Indo-Pasifik serta menggalakkan keterangkuman dan keterbukaan ASEAN dalam menjalankan hubungannya dengan rakan-rakan luar.
“Hatta platform ini dapat menggalakkan kebersamaan, keamanan dan kestabilan tatkala menopang tantangan dan kebhinekaan evolusi geopolitik serantau yang kian mencabar tika ini.
“Selain program kendatipun acara rasmi, saya juga akan bertemu sahabat-sahabat Indonesia dalam ‘Program Temu Anwar’, pertama kali diadakan di luar Malaysia seumpamanya.
“Moga semua yang dirancang dan diatur ini berjalan dengan lancar dan mendapat keredhaan-Nya, Insya Allah,” katanya. – UTUSAN