KUCHING: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan jentera Kabinet memastikan isu yang dibangkitkan rakyat Sabah dan Sarawak ditangani dan diselesaikan.
Kata Anwar, beliau telah menerima surat daripada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berhubung aduan rakyat yang diterima Seri Paduka selama 11 hari program Kembara Kenali Borneo baru-baru ini.
“Khamis lalu, saya telah menghadap Yang di-Pertuan Agong dan Seri Paduka bertitah dengan penuh terharu, walaupun dengan air mata, kerana Seri Paduka amat terharu dengan kasih sayang yang ditunjukkan rakyat sepanjang perjalanan.
“Yang di-Pertuan Agong telah memberikan semua surat dan petisyen kepada saya, dan saya memberi jaminan, insya-Allah, saya akan mengarahkan seluruh jentera Kabinet untuk meneliti setiap surat itu,” katanya ketika berucap di Majlis Sambutan Hari Malaysia Peringkat Kebangsaan di Stadium Perpaduan, Petrajaya, Kuching malam tadi.
Justeru kata Anwar, beliau akan mengarahkan semua jentera Kabinetnya meneliti dengan teliti surat dan petisyen yang disampaikan rakyat di kedua-dua negeri Borneo (Sabah dan Sarawak) kepada Yang di-Pertuan Agong.
“Yang mana tertinggal, dan perlu waktu untuk menyelesaikan saya berikan kepada Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor untuk selesaikan,” katanya.
Baru-baru ini Yang di-Pertuan Agong bertitah, sepanjang Kembara Kenali Borneo banyak aduan serta surat permohonan diterima daripada rakyat khususnya di pedalaman yang masih belum menikmati keperluan asas.
Justeru Seri Paduka menitahkan agar Kerajaan Persekutuan segera menyelesaikan masalah infrastruktur di pedalaman. – UTUSAN