Angkasa kenal pasti 500 koperasi berstatus tidak aktif untuk dipulihkan - Utusan Malaysia

Angkasa kenal pasti 500 koperasi berstatus tidak aktif untuk dipulihkan

ABDUL Fattah Abdullah (tengah) merasmikan kilang pembungkusan minyak masak usaha sama anggota Koperasi FELDA Trolak Utara di Sungkai hari ini. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANJUNG MALIM: Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa)  telah mengenal pasti lebih 500 koperasi berstatus tidak aktif di seluruh negara untuk dipulihkan semula.

Presiden Angkasa, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah berkata, usaha bagi pemulihan itu akan dijalankan menerusi program di bawah Angkasa, Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dan Institut Koperasi Malaysia (IKMa).

“Di bawah Angkasa, mana-mana koperasi yang tidak aktif ini, kita bantu dengan menawarkan mereka untuk menjalankan aktiviti peruncitan di bawah program Barang Asas 100 (BA100) .

“Melalui program itu, kita beri mereka pusingan kredit sebanyak RM10,000 dan ia boleh dijadikan modal untuk membeli barangan runcit dan jual kepada ahli. Ini dijadikan sebagai permulaan sebelum dikembangkan kepada aktiviti lain.

“Setakat ini, sebanyak 2,000 koperasi telah mendaftar menerusi program itu dan daripada jumlah tersebut, 1,000 koperasi kembali aktif,” katanya selepas menyempurnakan Karnival Usahawan Kami Anak Felda (KAF) Wilayah Trolak di Felda Trolak Utara di Sungkai di sini hari ini.

Yang turut hadir, Presiden KAF, Fakhrul Razi Husin dan Pengerusi Angkasa Perak, Mohd. Rosli Basri.

Menurut Abdul Fattah, antara masalah yang dikenal pasti punca koperasi tidak aktif adalah kerana kekurangan ahli atau ahli-ahlinya terdiri dalam kalangan orang lama.

Malah katanya, koperasi juga berdepan masalah dan hilang kelayakan apabila gagal menyediakan penyata akaun.

“Kita juga ada bahagian pemulihan di mana akan bantu koperasi menyediakan penyata akaun. Penyata akaun ini akan diserahkan kepada akauntan bertauliah untuk pengesahan.

“Biasanya, koperasi tidak aktif ini kerana tiada transaksi, bagaimanapun dari segi undang-undang mereka tetap kena buat laporan.

“Sebahagian besar koperasi ini tidak faham. Lagipun, koperasi tidak aktif ini tiada pendapatan, bila buat akaun mereka perlu bayar kepada akauntan bertauliah.

“Kita harap SKM boleh bantu dalam hal ini dari segi pembiayaan. Dengan cara ini, mungkin sebahagian koperasi yang tidak aktif ini dapat diselamatkan,” katanya.

Pada 23 Ogos lalu, Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, K. Saraswathy dilaporkan berkata, kira-Kira 4,000 daripada 15,315 koperasi seluruh negara bermasalah dan berdepan kehilangan kelayakan.

Beliau berkata, kebanyakan koperasi terbabit adalah kalangan koperasi kecil dan mikro yang gagal menyediakan penyata akaun mengikut Seksyen 60 dan Seksyen 39 Akta Koperasi 1993. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya