Ancaman besar sampah haram - Utusan Malaysia

Ancaman besar sampah haram

TIMBUNAN sisa industri dibuang secara haram sehingga mencemarkan anak sungai yang mengalir ke Sungai Serdang kira-kira tujuh kilometer dari muaranya di Sungai Kapar, Klang, Selangor. – UTUSAN/SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Lebih 10 meter tinggi timbunan cebisan plastik dari sisa industri dan domestik terbiar ‘menggunung’ di tapak pelupusan sampah haram atas tanah seluas kira-kira 2.2 hektar berhampiran Kampung Suara, Kampung Tambak Jawa dan Kampung Sungai Serdang.

Meskipun pelbagai aduan kepada pihak berkuasa dan pendedahan dilakukan oleh pelbagai akhbar, namun sisa tersebut masih lagi dibiarkan di situ. Sebaliknya hanya jalan masuk ke kawasan tersebut dihadang bongkah batu besar untuk menghalang laluan kenderaan.

Menurut Pengerusi Persatuan Penduduk di Kampung Sungai Serdang, Rahim Rohkim Iska, masalah tersebut berlarutan sejak 2011 dan kawasan tersebut kerap berlaku kebakaran sehingga menyebabkan pelepasan gas kimia berbahaya dan me­ngancam kesihatan penduduk.

Katanya, lebih 40,000 penduduk di lapan kawasan penempatan termasuk Kampung Tok Muda, Kampung Bukit Kerayong, Kampung Bukit Kapar, Kampung Bukit Cherakah dan Puncak Alam terdedah dengan bahaya jerebu akibat kebakaran di tapak pelupusan sampah haram berkenaan.

“Kita belum dapat kenal pasti siapa yang datang dan membuang sampah, tetapi selepas aduan dan laporan akhbar dibuat pada Mac lalu, pihak berkuasa tempatan (PBT) hanya meletakkan penghadang bagi mengelak sebarang kenderaan memasuki kawasan tersebut.

“Bagaimanapun, sehingga hari ini tiada tanda-tanda pembersihan dilakukan, sebaliknya sampah tersebut kerap terbakar dan saya juga percaya terdapat pencari besi buruk tidak bertanggungjawab membakar sampah bagi mendapatkan besi tembaga,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.

Sementara itu, tinjauan pemberita di tapak pelupusan sampah haram itu mendapati kawasan tersebut terletak kira-kira 1.5 kilometer dari Jalan Kapar dan perlu melalui jalan ta­nah untuk sampai ke sana.

Terdapat pelbagai jenis sisa ditinggalkan seperti sisa plastik, lebihan-lebihan kabel, bahan buangan dipercayai untuk kegunaan penyambungan elektrik berkuasa tinggi, botol minuman, kaca dan pelbagai jenis bahan buangan domestik dan industri.

Namun lebih mengejutkan tapak terbabit berada berse­belahan dengan kawasan pusat penternakan ayam daging dan telur milik sebuah syarikat yang terdedah dengan pencemaran pelepasan asap daripada bahan kimia berbahaya setiap kali berlaku kebakaran.

Akibat timbunan sampah itu juga, terdapat tiga saluran air melibatkan parit-parit kecil terhalang dan sisa tersebut turut melimpah sehingga masuk dan mencemarkan anak sungai yang mengalir ke Sungai Serdang.

Pencemaran tersebut juga dipercayai hanyut sejauh kira-kira tujuh kilometer sebelum sampai ke muara Sungai Kapar yang menjadi lokasi nelayan tradisional berpangkalan di Jeti Nelayan Kampung Tok Muda, untuk menangkap ikan.

Dalam pada itu, Rahim memaklumkan, aduan sudah pun dibuat kepada pihak berkuasa termasuk Majlis Perbandaran Klang (MPK), Majlis Perbandaran Kuala Selangor, Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor dan polis, namun tiada tindakan lanjut.

Jelasnya, bagaimanapun pihak berkuasa seperti bermain tarik tali apabila tapak pelupusan sampah haram itu terletak berhampiran dengan garisan sempadan antara Daerah Klang dan Kuala Selangor.

“Bila MPK atau MPKS datang datang ada yang kata itu bukan kawasan mereka, itu pun menjadi satu isu, kemudian aduan juga dibuat kepada JAS tetapi sehingga kini tiada tindakan membersihkan kawasan tersebut dibuat.

“Tetapi, MPK ada memasang kamera litar tertutup (CCTV) untuk memantau aktiviti di kawasan berkenaan, tetapi mereka enggan kongsikan video tersebut dan saya rasa kamera tersebut mungkin sekadar dummy,” katanya.

HILANG TAPAK TANAH

Sementara itu, salah seorang pemilik tanah, Tan Tiam, 55, memberitahu, dia terpaksa membatalkan hasrat untuk melakukan aktiviti pertanian atas tapaknya selepas mendakwa kehilangan sebahagian kawasan akibat berlaku pembuangan sampah di sana.

Menurutnya, tanah berkeluasan kira-kira 0.4 hektar dibelinya pada 2019 itu bersih namun berdepan masalah pencerobohan dan pembuangan sampah tidak lama kemudian menyebabkan dia membuat laporan polis.

“Terdapat bahan terlarang (bahan kimia) berada di kawasan tanah saya. Kemudian saya buat laporan polis kerana percaya tanah diceroboh dengan aktiviti sedemikian. Kemudian polis pun meminta saya membuat laporan ke JAS.

“Namun, selepas laporan dibuat, mereka tidak dapat ambil tindakan susulan terhadap sisa-sisa tersebut kerana ia berlaku di atas tanah persendirian, termasuklah letakkan pagar dan sebagainya,” katanya ketika dihubungi.

Bagaimanapun, dia menyatakan tindakan pembersihan juga perlu dilakukan sendiri sama ada dengan melantik kontraktor pembersihan dan sebagainya, namun kecewa kerana terpaksa berdepan dengan situasi sedemikian di atas tanah milik sendiri.

“Masa saya beli tanah tersebut tiada isu sampah yang kena dibersihkan. Jadi saya memang bercita-cita untuk usahakan pertanian pelbagai tanaman, walaupun kawasannya tidak besar namun yakin boleh memberikan hasil.

“Namun, bila jadi tempat orang buang sampah, saya pula terpaksa bersihkan sendiri sebab pihak berkuasa kata itu tanah persendirian dan menjadi tanggungjawab pemilik itu sendiri. Sampah di situ banyak,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya