IPOH: Bekas Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Abdullah Fadzil Che Wan disifatkan sebagai seorang pemimpin yang memiliki kredibiliti tersendiri dan berhemah tinggi.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, beliau mengenali Abdullah Fadzil ketika Allahyarham menjadi Ketua Pemuda UMNO Negeri Perak.
“Mengenali Allahyarham, beliau seorang yang pendiam namun berhemah dalam menyuarakan pandangan. Beliau hanya bercakap apabila perlu dan ada hujah untuk disampaikan, bukannya tembak sebarangan.
“Malah, sebagai seorang doktor, beliau juga amat prihatin apabila dilihat sering membawa beg mengandungi peralatan perubatan.
“Pernah berlaku kejadian seorang peserta pengsan dalam program anjuran UMNO, atas dasar ilmu perubatan yang dimilikinya, beliau tampil menjadi yang pertama memberi bantuan,” katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Masjid Panglima Kinta, di sini hari ini.
Menurut Saarani, selain dihormati dalam bidang politik, Allahyarham juga disegani kerana ketokohannya dalam bidang sukan terutama badminton.
Katanya, Allahyarham pernah menjadi antara orang penting dalam Persatuan Badminton Malaysia (BAM) di mana negara menjulang Piala Thomas pada tahun 1992.
“Di era kepimpinannya (Timbalan Presiden BAM), negara memenangi Piala Thomas (1992). Jadi, kita rasa kehilangan kerana beliau memberi sumbangan yang besar kepada sukan badminton,” katanya.
Allahyarham yang pernah menggalas jawatan Presiden BAM dari tahun 1993 hingga 2000 itu meninggal dunia pada pukul 5 pagi tadi di Hospital KPJ Tawakkal, Kuala Lumpur akibat radang paru-paru.
Selain memegang jawatan sebagai Timbalan Menteri Pertahanan dari tahun 1995 hingga 1999, Allahyarham juga memegang jawatan sebagai Timbalan Menteri Luar (1987-1995) dan Ahli Parlimen Bukit Gantang (1986-2004).
Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah berkenan berangkat ke majlis pengebumian bagi memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham. – UTUSAN