BALIK PULAU: Fenomena air pasang merah yang melanda perairan Teluk Bahang minggu lalu kini dikesan turut berlaku di perairan Pulau Betong.
Kehadiran alga tersebut yang dikenali sebagai Dinoflagellate, Noctiluca Scintillans dan tidak berbahaya kepada manusia itu dikesan penternak ikan sangkar di perairan Pulau Betong sejak semalam.
Difahamkan, seperti kejadian di perairan di Teluk Bahang, kehadiran alga yang menyebabkan air laut berwarna merah jambu turut menyebabkan spesis hidupan laut seperti ikan di perairan Pulau Betong mati.
Pengarah Pusat Kajian Samudera dan Pantai (CEMACS), Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Datuk Dr. Aileen Tan berkata, variasi dalam faktor persekitaran seperti suhu atmosfera yang dikaitkan dengan hujan tinggi yang mengakibatkan perubahan suhu permukaan laut serta ketersediaan nutrien terlarut menjadi punca pembiakan Noctiluca scintillans.
”Kami dimaklumkan oleh penternak ikan di kawasan perairan di Pulau Betong bahawa mereka mengesan kehadiran alga Noctiluca scintillans ini pagi semalam.
”Pada masa ini, air laut dalam keadaan pasang dan kemungkinan besar alga ini dari minggu lepas hanyut dibawa arus di kawasan perairan Barat Daya atau ia adalah alga yang baharu mekar di perairan Pulau Betong.
“Setakat ini di perairan Teluk Bahang alga ini tidak lagi dikesan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Pada minggu lalu, nelayan-nelayan di sekitar kawasan Teluk Bahang bimbang dengan fenomena yang didakwa sebagai air pasang merah yang melanda kawasan berkenaan.
Jabatan Perikanan memaklumkan keputusan awal analisis yang telah dijalankan oleh Institut Penyelidikan Perikanan Batu Maung bagi mengenal pasti ‘air merah’ itu mendapati alga tersebut bukan toksin dan tidak berbahaya kepada manusia
Menurut Aileen, keadaan laut pada masa ini semakin panas menyebabkan kekerapan alga Noctiluca scintillans untuk mekar.
”Gabungan amnonia dan oksigen yang rendah akibat kehadiran alga ini di laut akan menyebabkan ikan menjadi ‘sesak nafas’ kerana kekurangan oksigen.
“Alga ini mengurangkan kualiti air laut dan menyebabkan ia tidak selamat untuk ikan terus hidup,” katanya.
Tambanya, hasil penelitian dan kajian pihaknya mendapati kematian ikan dan hidupan laut adalah berpunca daripada kekurangan oksigen dan kepekatan amnonia yang tinggi disebabkan kehadiran alga tersebut.
Dalam pada itu, Pengerusi Persatuan Nelayan Pulau Pinang Selatan, Arshad Omar berkata, setakat ini pihaknya belum menerima maklumat mengenai kejadian air pasang merah itu di perairan Pulau Betong. – UTUSAN