Akses saksama saringan, vaksinasi HPV - Nurul Izzah

Akses saksama saringan, vaksinasi HPV – Nurul Izzah

Nurul izzah
NURUL IZZAH ANWAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar menggesa penglibatan semua pihak dalam usaha menghapuskan kanser servis dengan menyediakan akses saksama kepada saringan dan vaksinasi Human Papilloma Virus (HPV).

Beliau berkata, kanser serviks adalah sejenis barah yang boleh dicegah melalui vaksinasi dan ujian saringan.

Menurutnya, kadar vaksinasi HPV kepada remaja perempuan berusia antara 12 hingga 15 tahun di negara mencecah 90 peratus dalam tempoh 10 tahun iaitu bermula tahun 2010 hingga 2020.

“Walaupun pelaksanaan program berkenaan tergendala sepanjang tempoh pandemik Covid-19, kerajaan kini sedang merangka usaha untuk memulakan kembali inisiatif itu dan memastikan kaedah berkesan dalam melaksanakan vaksinasi HPV untuk kumpulan sasaran yang terlepas proses berkenaan ketika pandemik pada 2021 dan 2022.

“Data terkini daripada Universiti Malaya (UM) juga menunjukkan usaha bersepadu dalam tempoh 10 tahun lalu, menyaksikan pengurangan sehingga 90 peratus dalam sasaran vaksinasi HPV jenis 16 dan 18 adalah pencapaian dan prestasi yang luar biasa

“Kejayaan tersebut adalah hasil daripada komitmen signifikan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan pelbagai agensi kerajaan dalam merangka program vaksinasi yang efektif,” katanya ketika mengalu-alukan kedatangan delegasi ke pelancaran Global HPV Consortium di Kuala Lumpur, hari ini.

Konsortium ini adalah gerakan awam-swasta bagi menghalang jangkitan HPV dalam usaha menghapuskan kanser serviks, iaitu penyakit utama berkait HPV yang sudah lama mencetuskan kebimbangan masyarakat.

Gerakan ini menghimpunkan pemegang-pemegang taruh, antaranya dari Malaysia, Indonesia, Brunei, Mesir, Senegal, Nigeria, Afrika Selatan, Malawi, Brazil, Argentina, India dan Singapura.

Menurut Nurul Izzah, pengalamannya bekerjasama dengan Pengasas Program Rose Malaysia, Prof. Woo Yin Ling pada tahun 2019 menjadi titik tolak bermulanya perjuangannya melawan kanser serviks.

Katanya,empat tahun lalu seorang ibu yang tinggal di perkampungan pedalaman Borneo menjadi ‘mangsa’ kanser tersebut apabila hanya menerima rawatan kesihatan selepas penyakit itu sudah mencapai tahap teruk.

“Kisah bermula dengan wanita berkenaan sebenarnya sudah mengalami pendarahan selama beberapa bulan, tetapi ketika itu dia terlalu malu untuk mendapatkan bantuan. Ditambah pula dengan kos dan masa yang diperlukan untuk ke hospital daerah terdekat dari rumahnya adalah kira-kira tiga jam perjalanan.

“Disebabkan semua faktor itu, dia bersendirian menanggung penderitaan, melindungi sakit yang melelahkan, mengalami pendarahan dan sentiasa keletihan, berjalan beberapa jam sehari sambil mengendong anak kecil di belakangnya untuk mencari rezeki dengan menoreh getah demi kelangsungan hidup.

“Ketika didiagnos, kansernya sudah tahap teruk dan walaupun usaha terbaik dilaksanakan pasukan perubatan untuk mengawal barah yang menyerang, wanita malang itu meninggal dunia beberapa bulan kemudian,” katanya.

Dalam konsortium sama, Nurul Izzah turut berkongsi pendekatan ‘keseluruhan masyarakat’ yang diamalkan Malaysia dalam usaha menghapuskan kanser serviks.

Katanya, sejak tahun 2019, pemegang taruh dalam kerajaan, ahli akademik, pakar-pakar mengenai dasar dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menggembleng usaha untuk memastikan perubahan berkesan ke arah pensampelan kendiri HPV berketepatan tinggi untuk saringan serviks.

Beliau menjelaskan, banyak yang sudah dicapai di Malaysia melalui komitmen dan kerja keras KKM, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) serta khidmat pelbagai NGO seperti Program Rose.

“Segala usaha berkenaan perlu dipergiat dan dipercepatkan jika Malayasia mahu berada di landasan tepat untuk melaksanakan Pelan Tindakan Ke Arah Penghapusan Kanser Serviks di Malaysia 2021-2030.

“Hanya sekali vaksinasi ketika usia antara 12 hingg 15 tahun dan dua ujian berketepatan tinggi HPV DNA (dilaksanakan melalui pensampelan kendiri/kit ujian kendiri) dalam jangka hayat wanita, boleh mengelakkan mereka daripada kesakitan dan penderitaan akibat kanser serviks,” katanya.

Pada masa sama, Nurul Izzah turut menggesa industri yang bertanggungjawab agar dapat menunjukkan komitmen sebenar untuk bekerjasama dengan kerajaan di negara berpendapatan rendah dan sederhana, khususnya di selatan dunia susulan peningkatan lebih 80 peratus kematian akibat kanser serviks.

Katanya, ia antara lain untuk memastikan akses saksama kepada vaksinasi dan saringan HPV.

“Banyak lagi yang perlu dilakukan untuk memastikan setiap kanak-kanak di Asia Tenggara, Asia dan Afrika mempunyai akses terhadap vaksinasi HPV dan semua wanita mempunyai akses terhadap ujian HPV DNA berketepatan tinggi.

“Justeru, pada pelancaran Global HPV Consortium ini diharap akan memberi penuh impak dan membolehkan perancangan kolektif dihasilkan di kalangan pemegang-pemegang taruh dan memastikan tiada kanak-kanak atau wanita tercicir, sekali gus memastikan kanser serviks dapat dihapuskan daripada kehidupan komuniti,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya