Air pasang merah tidak merebak ke kawasan lain - Utusan Malaysia

Air pasang merah tidak merebak ke kawasan lain

FAHMI Zainol (kiri) mengedarkan sayur percuma kepada orang ramai sempena program Jualan Agro Madani di kawasan DUN Pantai Jerejak, Bayan Lepas, Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

BAYAN LEPAS: Fenomena air pasang merah yang berlaku di perairan Teluk Bahang di sini minggu lalu, didapati tidak merebak ke kawasan perairan lain di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Agroteknologi dan Keterjaminan Makanan, Pembangunan Koperasi negeri, Fahmi Zainol berkata, setakat ini menerusi pemantauan yang dijalankan oleh agensi terlibat seperti Jabatan Perikanan negeri, fenomena air pasang merah itu kini didapati semakin berkurangan di perairan berkenaan.

”Setakat ini kejadian air pasang merah ini berlaku di kawasan perairan Teluk Bahang sahaja dan tidak merebak ke kawasan lain.

”Ia merupakan satu kejadian alam dan alga berkenaan telah berkurangan selepas kira-kira lima hari berada di perairan Teluk Bahang,” katanya selepas meninjau program Jualan Agro Madani di kawasan DUN Pantai Jerejak, di sini hari ini.

Sebelum ini, nelayan-nelayan di sekitar kawasan Teluk Bahang bimbang dengan fenomena yang didakwa sebagai air pasang merah melanda kawasan berkenaan.

Jabatan Perikanan memaklumkan keputusan awal analisis yang dijalankan oleh Institut Penyelidikan Perikanan Batu Maung bagi mengenal pasti ‘air merah’ yang hadir di perairan Teluk Bahang mendapati alga tersebut bukan toksin iaitu spesies Noctiluca Scintillans dan tidak berbahaya kepada manusia.

Menurut Fahmi, kejadian air pasang merah itu telah mengakibatkan enam penternak ikan di dalam sangkar di perairan Teluk Bahang mengalami kerugian selepas 12 tan ikan yang diternak mati.

”Kejadian air pasang merah ini berlaku kira-kira lima hari, dan kerugian yang dialami penternak ikan dalam sangkar adalah kira-kira RM200,000 hingga RM300,000.

“Saya telah membawa perkara ini ke
mesyuarat Exco dan memohon bantuan yang sesuai daripada kerajaan negeri untuk mengurangkan beban kerugian ditanggung para penternak ikan terlibat.

”Mungkin kita akan bantu penternak dari segi pemberian benih ikan, bantuan akan diberikan dengan persetujuan dan kelulusan daripada Ketua Menteri,” katanya.

Dalam pada itu, Fahmi menafikan dakwaan sesetengah pihak yang mengaitkan kehadiran alga spesies Noctiluca Scintillans di perairan Teluk Bahang berpunca daripada aktiviti penambakan laut.

”Ia bukan berpunca dari penambakan, alga berkenaan wujud disebabkan faktor alam semulajadi.

“Saya minta pihak berkenaan kemukakan bukti dan data yang menyatakan punca kejadian ini ialah berpunca daripada penambakan laut,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya