Air kencing Yasin positif kanabis -pegawai kimia

Air kencing Yasin positif kanabis -pegawai kimia

MUHAMMAD YASIN SULAIMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seorang pegawai kimia memberitahu Mahkamah Sesyen di sini hari ini, ujian saringan yang dijalankan terhadap sampel air kencing milik penyanyi dan komposer, Muhammad Yasin Sulaiman mengandungi kanabis.

Rusli Ibrahim, 56, berkata, air kencing itu positif `cannabinoid’ manakala hasil ujian akhir mendapati sampel tersebut mengandungi ’11-nor-delta-9 tetrahydrocannabinol-9- carboxylic acid’ iaitu dadah yang tersenarai dalam Jadual Pertama Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Menurut Pegawai Sains (Kimia Hayat) yang bertugas di Makmal Dadah, Jabatan Patologi, Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang dekat sini, beliau kemudian menyediakan laporan atas nama tertuduh dan mengesahkanya pada 8 April 2022.

Saksi berkata, beliau kemudian menyerahkan laporan itu kepada Penolong Pegawai Penyiasat Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, Sarjan Mohd. Fikri Omar pada 11 April 2022.

Saksi pendakwaan kelima (SP5) itu menyatakan demikian ketika memberi keterangan pada perbicaraan terhadap Muhammad Yasin, 48, yang menghadapi tiga pertuduhan berkaitan dadah.

Ketika membacakan pernyataan saksinya, Rusli berkata, beliau menerima borang permohonan ujian pengesanan air kencing dan satu botol sampel air kencing kepunyaan tertuduh pada 30 Mac 2022.

“Maklumat pada borang permintaan dan nombor siri botol masih dalam keadaan baik, isipadu air kencing mencukupi untuk dianalisis, botol tidak bocor serta berada dalam keadaan sempurna,” kata saksi.

Ujarnya, botol sampel air kencing itu kemudian disimpan dalam peti sejuk pada suhu khas 2 hingga 8 darjah Celcius yang mana hanya beliau dan Juruteknologi Makmal Perubatan, Abdul Majid Khan Suliaman mempunyai kawalan.

Menjawab soalan tambahan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Zuhaini Mahamad Amin, Rusli berkata, sampel air kencing itu tidak tercemar kerana disimpan pada suhu yang sepatutnya dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) makmal penyimpanan sampel.

Sementara itu, peguam Ariff Azami Hussein tidak menyoal balas saksi tersebut. Perbicaraan di hadapan Hakim Faiz Dziyauddin bersambung petang ini.

Mengikut pertuduhan pertama, Muhammad Yasin didakwa dalam milikannya dadah berbahaya jenis Kanabis seberat 193.7 gram di sebuah kondomonium di Persiaran Surian Damansara Indah Resort Home, PJU 3, Kota Damansara di sini pukul 5.30 petang pada 24 Mac 2022.

Bagi kesalahan itu, Muhammad Yasin didakwa mengikut Seksyen 6 ADB 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39A(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun dan juga boleh dikenakan hukuman sebat tidak kurang 10 sebatan jika sabit kesalahan.

Pertuduhan kedua, Muhammad Yasin didakwa menanam 17 pokok dalam pasu plastik berisi tanah yang mana daripadanya Kanabis yang diperolehi secara terus atau tidak langsung pada tempat, waktu dan tarikh sama yang mana pertuduhan itu mengikut Seksyen 6B(1)(a) ADB yang boleh dihukum di bawah Seksyen 6B(3) akta sama Kanun Keseksaan.

Hukuman bagi seksyen memperuntukkan penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang daripada enam kali jika sabit kesalahan.

Sementara bagi pertuduhan ketiga, Yasin didakwa memberikan dirinya dadah berbahaya jenis ’11-nor-delta-9 tetrahydrocannabinol-9- carboxylic acid’ di Pejabat Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, pukul 11.05 malam pada tarikh sama.

Bagi kesalahan itu pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 15 (1)(a) ADB dan boleh dihukum di bawah Seksyen 15 (1) akta yang sama, yang membawa hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau dikenakan penjara maksimum dua tahun, jika sabit kesalahan.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN