Ahmad Zahid dilepas tanpa bebas daripada 47 pertuduhan rasuah

Ahmad Zahid dilepas tanpa bebas daripada 47 pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram

AHMAD Zahid Hamidi yang dilepas dan dibebaskan boleh didakwa semula.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Selepas 77 hari dibicarakan, Mahkamah Tinggi di sini sebentar tadi melepas tanpa membebaskan (DNAA) Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi daripada 47 pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah (kini Hakim Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan Jabatan Peguam Negara (AGC) agar prosiding perbicaraan diberhentikan bagi kesemua pertuduhan terhadap Timbalan Perdana Menteri.

Mahkamah turut menolak permohonan pasukan pembelaan agar Ahmad Zahid dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan-pertuduhan yang dihadapinya.

Ketua Bahagian Rayuan dan Perbicaraan AGC, Datuk Mohd. Dusuki Mokhtar menggariskan 11 alasan bagi menyokong permohonan agar Ahmad Zahid dikenakan DNAA bagi semua 47 pertuduhan.

Antara alasan itu termasuk pihak pendakwaan perlu mengkaji keterangan saksi-saksi pada perbicaraan itu serta bagi membolehkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan lanjut terhadap bukti baharu yang dikemukakan oleh Ahmad Zahid.

Alasan lain menyentuh isu yang dibangkitkan dalam representasi bahawa pendakwaan dibuat secara cuai dan terburu-buru serta beliau menjadi mangsa pendakwaan terpilih kerajaan terdahulu.

Pada 10 April lalu, mahkamah diberitahu, Ahmad Zahid mengemukakan representasi kepada AGC setebal 200 muka surat mengandungi fakta dan bukti baharu dalam usaha menggugurkan 47 pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram yang dihadapinya.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pukul 8.58 pagi bersama-sama beberapa ahli keluarga dan disambut oleh penyokong-penyokongnya yang membanjiri pekarangan mahkamah.

Presiden UMNO itu dihadapkan ke mahkamah pada 2018 manakala perbicaraan bermula pada 2019 dengan mendengar keterangan 99 saksi pendakwaan.

Ahmad Zahid, 70, didakwa atas 47 pertuduhan iaitu lapan rasuah, 12 pecah amanah dan 27 pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi yang mana beliau adalah pengasasnya.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu didakwa atas 12 pertuduhan pecah amanah iaitu menggunakan dana Yayasan Akalbudi untuk membuat enam pembayaran bagi kad kredit persendirian, polisi insurans serta lesen kenderaan persendirian, kiriman wang kepada sebuah firma guaman dan sumbangan kepada persatuan bola sepak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Kesalahan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan dan didakwa dilakukan di Affin Bank Berhad, cawangan Jalan Bunus, Off Jalan Masjid India di sini di antara 13 Januari 2014 dan 23 Disember 2016.

Bagi lapan pertuduhan rasuah, Ahmad Zahid dituduh menerima suapan daripada tiga syarikat iaitu Mastoro Kenny IT Consultant & Services, Data Sonic Group Berhad dan Profound Radiance Sdn. Bhd.

Suapan itu sebagai dorongan kepadanya atas kapasiti selaku Menteri Dalam Negeri pada ketika itu untuk membantu syarikat terbabit mendapatkan projek MyEG, membekalkan cip pasport serta menyediakan perkhidmatan pusat sehenti di Pakistan dan Nepal.

Beliau dituduh melakukan perbuatan itu di cawangan Maybank Dataran Maybank di Jalan Maarof, Bangsar, antara 15 Julai 2016 dan 15 Mac 2018.

Pertuduhan mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali nilai suapan atau RM10,000 mana lebih tinggi, jika disabitkan kesalahan.

Ahmad Zahid juga berdepan 27 pertuduhan pengubahan wang haram dengan melibatkan diri dalam transaksi secara langsung membabitkan pendapatan daripada aktiviti haram antara 26 Mac 2016 dan 11 April 2018.

Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan di bank yang sama di Jalan Maarof, Bangsar dan Marhaba Enterprise Sdn Bhd, Fahrenheit88, 179 Jalan Bukit Bintang di sini antara 29 Mac 2016 dan 11 April 2018.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta, mana lebih tinggi jika sabit kesalahan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya