KUALA NERUS: Pelumba Petronas Sprinta Yamaha CKJ Racing, Ahmad Afif Amran, mengungguli pusingan ketujuh kategori Perdana CP150 Kejuaraan Cub Prix Malaysia di Litar Permotoran Terengganu, Gong Badak, di sini, hari ini.
Kejayaan itu merupakan yang kedua berturut-turut buat pelumba berusia 28 tahun itu setelah menjuarai pusingan keenam di Teluk Intan, Perak pada 3 September lalu.
Di Terengganu hari ini, Ahmad Afif yang bermula dari petak kedua tiba paling awal di garisan penamat pada perlumbaan 20 pusingan itu dengan catatan masa 16 minit 20.549 saat (s).
Rakan sepasukannya, Md. Akid Aziz (16:21.313s) pula di tempat kedua manakala tempat ketiga menjadi milik pelumba Petronas Sprinta Yamaha Maju Motor, Kasma Daniel Kasmayudin (16:27.926s)
Md. Akid bagaimanapun masih mendahului kedudukan keseluruhan selepas tujuh pusingan dengan mengumpul 121 mata sambil diekori rapat Ahmad Afif di tempat kedua dengan 114 mata.
Sementara itu, kategori CP125 menyaksikan pelumba Petronas Sprinta Yamaha Maju Motor, Adie Putra Sukarno lebih unggul dengan masa 12:55.820s mengatasi Shafiq Ezzariq Saiful Nizam (12:56.577s) di tempat kedua.
Pelumba Petronas Sprinta Yamaha CKJ Racing, Md. Aimam Tahiruddin pula melengkapkan kedudukan podium bagi kategori CP125 di tempat ketiga dengan catatan 12:56.789s.
Bagi kategori Wira KBS, pelumba Yamaha Estremo Racing, Emil Idzhar Ezuan mencuri tumpuan muncul pemenang selepas merekodkan masa 10:37.570s di tempat pertama.
Tempat kedua menjadi milik Amirun Haziq Johan (10:37.614s) daripada Petronas Yamaha Sprinta 31 Racing manakala pelumba Bad Lab Honda KC Racing, Farish Iqmal Khyrul Elyas (10:37.761s) di tempat ketiga. – UTUSAN