Ahli Parlimen ditegur usah jadikan Dewan Rakyat macam pasar borong 

Ahli Parlimen ditegur usah jadikan Dewan Rakyat macam pasar borong 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ahli-ahli Parlimen ditegur supaya menjaga kelakuan dan tidak menjadikan mesyuarat khas Dewan Rakyat seperti di pasar borong.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Ramli Mohd. Noor membuat teguran itu selepas beberapa ahli Parlimen bertengkar dan bangun membangkitkan Peraturan Mesyuarat berhubung perkara yang disuarakan Datuk Seri Takiyuddin (PN-Kota Bharu) Hassan ketika sesi perbahasan usul Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

“Saya mahu, kalau yang berhormat mahu juga jadi pasar borong, fakta tidak dapat direkod dan penjelasan saya tidak dapat dengar. Jadi saya minta kerjasama agar bertenang. Janganlah kita ubah kuorum ini menjadi pasar ikan,” katanya di Dewan Rakyat hari ini. 

TAKIYUDDIN HASSAN

Terdahulu, Takiyuddin semasa perbahasannya mempersoal penggunaan tiga helikopter oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sebuah majlis di Sungai Besar, Selangor. 

Beliau mendakwa ia menggunakan peruntukan besar sedangkan sebelum ini Anwar dikatakan menolak perbelanjaan baik pulih kediaman dan kereta untuk membantu golongan sasar.

Sim Tze Tzin (PH-Bayan Baru) tidak berpuas hati dan mencelah meminta penjelasan berhubung perkara itu. 

Dr. Mohammed Taufiq Johari (PH-Sungai Petani) turut membangkitkan Peraturan Mesyuarat 36 (6) mengenai seorang ahli Dewan tidak boleh mengeluarkan sangkaan jahat ke atas ahli lain.

“Apa yang dikatakan (Ahli Parlimen) Kota Bharu adalah fitnah apabila nyatakan kerajaan belanja berpuluh ribu ringgit buat helipad untuk perdana menteri. Kena tanya fakta betul atau tidak. Apa yang Kota Bharu kata semua daripada netizen, laskar siber mereka, tidak boleh buat apa-apa tuduhan tidak berasas.

“Jangan ikut laporan daripada Facebook atau TikTok mereka, tetapi kita ini di Dewan mulia, kita tidak boleh bawa apa sahaja daripada netizen sebagai satu kebenaran, (kenyataan) itu bukan kebenaran,” katanya.

RONALD KIANDEE

Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee (PN-Beluran) turut membangkitkan Peraturan Mesyuarat 37 (2) mengenai pengerusi mempunyai kuasa tidak membenarkan mana-mana ahli Dewan minta penjelasan jika dipercayai mempunyai niat untuk mengganggu ahli dewan yang sedang berucap.

“Kita ada peraturan mesyuarat yang jelas dan kes-kes macam ini semata-mata untuk mengganggu perbahasan yang sedang dibuat oleh Ahli Parlimen Kota Bharu,” katanya.

Bagaimanapun, penjelasan Ronald menyebabkan Howard Lee Chuan How (PH-Ipoh Timur) bangkit mencelah dan menyifatkan kenyataan itu adalah sangkaan jahat.

Ramli kemudian membuat ketetapan supaya Ahli Parlimen yang tidak berpuas hati dengan kenyataan Takiyuddin untuk mengemukakan usul supaya perkara itu boleh dinilai oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul untuk dibawa ke Parlimen. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya