Agong rasmi Jambatan Al-Sultan Abdullah Guai 

Agong rasmi Jambatan Al-Sultan Abdullah Guai 

AL-SULTAN Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan meninjau Sungai Pahang dari atas Jambatan Guai pada Majlis Perasmian Jambatan Guai Al Sultan Abdullah di Bera, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERA: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan merasmikan Jambatan Guai sekali gus menamakan Jambatan Al-Sultan Abdullah sempena lawatan Seri Paduka ke daerah ini. 

Jambatan Guai diluluskan pada 2016 bernilai RM98.5 juta itu dibina susulan bencana banjir 2014 yang menyebabkan lebih 1,200 penduduk dari sembilan buah kampung di situ terjejas.

Jambatan sepanjang 770 meter berkenaan mula dibina pada 2017 yang menghubungkan Jalan Kampung Guai dengan Jalan Mengkarak-Paloh Hinai.

Al-Sultan Abdullah berharap jambatan baharu itu dapat mengukuhkan ukhuwah penduduk antara kampung yang terpisah dan menjadi pemangkin kemajuan kepada penduduk.

“Saya percaya jambatan ini memberi rahmat kepada penduduk sekali gus menjadi medium menghubungkan dua kawasan kampung.

“Kewujudan jambatan ini memberi peluang ekonomi baharu kepada rakyat tempatan di sini dengan tahap ketersampaian ke lokasi seperti ke bandar Bera lebih pantas.

“Jambatan juga boleh membawa kita merentasi halangan apa jua rintangan yang menjadi pemisah dengan meneroka sesuatu persekitaran baharu yang membentuk masyarakat harmoni tanpa rasa semangat prejudis dan prasangka,” titah Seri Paduka pada  majlis perasmian jambatan itu.

Al-Sultan Abdullah bertitah, kampung yang mendapat manfaat besar pembinaan jambatan itu adalah Kampung Guai, Kampung Seberang Jelam, Kampung Mengkuang Ladang, Kampung Pamah Kasih, Kampung Charuk Puting, Kampung Selendang, Kampung Kening, Kampung Puchong, dan Kampung Batu Bor.

Seri Paduka mahu jambatan itu dijadikan simbol dan mercu tanda sebagai bukti raja serta rakyat berpisah tiada.

Seri Paduka turut meminta kerajaan memberi perhatian pembangunan di Chenor, Maran supaya ia selari dengan kepesatan negara.

Menurut Seri Paduka, walaupun sudah wujud Jambatan Chenor lebih RM100 juta tetapi daripada segi aspek rantaian pembangunan di kawasan itu kurang memberangsangkan. 

Dalam pada itu, Al-Sultan Abdullah meminta projek jambatan kembar Temerloh dapat disiapkan mengikut jadual berikutan itu semakin sesak terutama pada waktu puncak.

Sementara itu, Seri Paduka berkata, pihaknya akan mendokumentasikan pengalaman manis Kembara Kenali Borneo selama 11 hari yang bermula 3 hingga 13 September lalu.

“Kembara Kenali Borneo membabitkan negeri Sabah, Sarawak dan Brunei bersama Raja Permaisuri Agong dan anakanda merupakan jambatan ukhuwah rakyat Semenanjung dengan negeri berkenaan,” titah Seri Paduka.

Baginda bertitah, susulan kembara itu, banyak maklumat yang memerlukan kerajaan melaksanakan pakej pembangunan yang diperlukan rakyat seperti bekalan air, elektrik, internet di luar bandar yang menjadi keperluan rakyat di luar bandar. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya