SEBAUH: Penduduk Rumah Raymond Plen di Sungai Gelam, di sini teruja menyambut menerima kunjungan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dalam program Kembara Kenali Borneo.
Rumah panjang yang mempunyai pelbagai suku kaum etnik terdiri daripada 53 pintu itu turut berpeluang melakukan beberapa aktiviti bersama rombongan termasuk aktiviti memasak bersama Raja Permaisuri dan mempamerkan aktiviti kraftangan Sarawak.
Kunjungan Seri Paduka Baginda dan Raja Permaisuri telah meluangkan masa lebih 4 jam di rumah panjang tersebut dengan menyaksikan pelbagai aktiviti lain yang dianjurkan oleh Kerajaan Sarawak.
Rumah panjang yang terletak 44 km dari pusat bandaraya Bintulu itu, turut berkesempatan menerima kunjungan aktiviti santapan tengah hari Baginda bersama komuniti, selain aktiviti memancing serta pengurniaan bantuan kepada golongan asnaf.
Raja Permaisuri turut berkenaan melakukan aktiviti memasak yang diadakan di perkarangan rumah panjang.
Terdahulu Seri Paduka Baginda berdua berkenan mengunjungi pameran kraftangan yang dipamerkan di ruai rumah panjang 53 pintu itu.
Seusai di bahagian Bintulu, Kembara Kenali Borneo Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan rombongan meneruskan perjalanan ke daerah Sibu yang melibatkan perjalanan kira-kira 213 kilometer, petang tadi.
Rombongan tersebut turut dijadualkan mengadakan persinggahan di luar Tokong Yu Lung San Tian En Si, sebuah tokong Cina terkenal yang terletak di pinggir bandar Sibu, seterusnya dijangka akan bersantapan bersama rakyat di Dewan MUC, Kampung Bandung, Sibu, sebelum menuju ke hotel penginapan pada malam ini.-UTUSAN