PUTRAJAYA: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat ke Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan Tahun 1445H di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, hari ini.
Berangkat sama pada majlis berkenaan, Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda berdua pada pukul 10 pagi itu disambut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta isteri Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar.
Sambutan Maulidur Rasul merupakan salah satu acara rasmi kerajaan yang disambut setiap tahun sama ada di peringkat persekutuan dan negeri sesuai dengan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan Malaysia.
Sambutan ini juga bukan sekadar memperingati hari ulang tahun kelahiran Rasulullah SAW, malah ia menjadi wadah terbaik dalam menyantuni masyarakat meneladani susur kehidupan, perjuangan dan sunnah Rasulullah SAW.
Sambutan dengan tema ‘Perpaduan Teras Malaysia Madani’ adalah merupakan manifestasi dari intipati ajaran Rasulullah SAW dan ia merupakan satu tema yang sangat signifikan kepada umat Islam termasuk masyarakat bukan islam di negara ini.
Pada sambutan itu juga, seramai 6,000 orang terdiri daripada 131 kontinjen dari pelbagai kementerian, badan berkanun dan agensi swasta berarak sejauh 1.1 kilometer dari Jambatab Seri Gemilang, Putrajaya ke PICC diketuai Mohd. Na’im.
Seperti tahun-tahun sebelum ini, sempena Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan, akan diadakan upacara penyampaian Anugerah Perdana dan Anugerah Maulidur Rasul kepada individu-individu yang layak.
Majlis pada kali ini menobatkan seorang penerima Anugerah Perdana dan enam penerima Anugerah Maulidur Rasul.
Anugerah ini diberikan sebagai pengiktirafan kepada individu-individu yang layak dan telah memberi sumbangan cukup bermakna dalam pembangunan ummah dan negara.
Penerima anugerah dipilih berdasarkan jasa dalam bidang kepakaran masing-masong yang telah disumbang untuk pembangunan agama, bangsa dan negara yang memberi impak positif ke atas kesejahteraan dan kemakmuran semua. – UTUSAN