PETALING JAYA: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menerima menghadap dan sembah taklimat berhubung perkembangan semasa ekonomi negara daripada Bank Negara Malaysia (Bank Negara) di Istana Negara, semalam.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Mejar Jeneral Datuk Indera Zahari Mohd. Ariffin dalam kenyataan berkata, Seri Paduka berkenan menerima sembah taklimat itu daripada Gabenor Bank Negara, Datuk Abdul Rasheed Ghaffour dan Timbalannya, Datuk Jessica Chew Cheng Lian.
Katanya, Seri Paduka Baginda berkenan menerima sembah taklimat berkaitan kestabilan nilai ringgit, keadaan inflasi, kemajuan ekosistem kewangan Islam, pengantaraan berasaskan nilai dan program kewangan sosial khususnya program i-TEKAD.
Selain itu, Yang di-Pertuan Agong bertitah mengambil maklum bahawa keadaan ekonomi negara yang berkembang pada kadar 4.2 peratus pada separuh pertama tahun 2023, meskipun berdepan persekitaran pertumbuhan ekonomi global dan perdagangan yang lebih perlahan.
“Seri Paduka turut mengambil maklum kadar pengangguran menurun kepada 3.4 peratus Jun lalu. Inflasi keseluruhan dan inflasi nilai teras terus menurun pada suku kedua tahun ini.
“Perkembangan ini disokong oleh perbelanjaan isi rumah yang kukuh berikutan pasaran pekerja dan pendapatan yang lebih baik di samping pelaksanaan projek pelaburan baharu dan sedia ada.
“Seri Paduka juga memberi perhatian kepada perkembangan sektor kewangan Islam yang menyumbang kepada kemajuan ekonomi serta perkembangan sosio ekonomi negara,” katanya dalam Facebook Istana Negara, hari ini.
Dalam pada itu, katanya, Seri Paduka menzahirkan rasa syukur terhadap perkembangan inisiatif i-TEKAD dalam membantu golongan rentan.
Katanya, ia menyaksikan program tersebut mendapat sokongan 11 institusi kewangan dan hampir 60 peratus rakan pelaksana memanfaatkan 3,000 usahawan mikro berpendapatan rendah terutama golongan asnaf.
“Seri Paduka bertitah, semua pihak terus memberi tumpuan terhadap pelaksanaan pembaharuan struktur ekonomi dan meningkatkan daya saing bagi menjamin pertumbuhan ekonomi negara yang lebih inklusif, kukuh dan mapan,” katanya. -UTUSAN