SHAH ALAM: Sejak penubuhannya pada 1994, Lembaga Zakat Selangor (LZS) buat pertama kalinya mengagihkan zakat sebanyak RM1.05 bilion pada tahun 2022.
Peratusan agihan zakat ini meningkat hampir dua kali ganda berbanding tahun sebelumnya yang turut menyumbang kepada pertambahan jumlah keluarga disantuni iaitu 62,000 keluarga asnaf fakir dan miskin di Selangor, melibatkan hampir 350,000 penerima keseluruhannya.
Berdasarkan pelaksanaan semasa, LZS akui bertanggungjawab memastikan pengagihan zakat seimbang dengan kutipan zakat yang menjadi amanah sebagai sebuah instrumen sosial kewangan ummah.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd. Sabirin Mohd. Sarbini berkata, golongan fakir dan miskin masih merupakan penerima agihan zakat terbesar, merangkumi 54 peratus daripada jumlah keseluruhan agihan 2022.
Katanya, pengagihan zakat melebihi RM1 bilion ini dapat direalisasikan berikutan komitmen lebih 400,000 pembayar zakat di Selangor yang menunaikan kewajipan mereka tahun lalu.
“Sejumlah besar daripada pengagihan zakat iaitu sebanyak RM885 juta telah diperuntukkan bagi program pembangunan sosial, pendidikan dan institusi keagamaan. Di samping itu, LZS telah membantu lebih 6,000 individu keluar daripada kemiskinan dan lebih 400 asnaf mendapat peluang pekerjaan melalui program pembangunan yang dilaksanakan,” katanya.
Meskipun berlaku peningkatan kutipan pada saban tahun, agihan zakat turut meningkat apabila atas beberapa faktor termasuklah pengemaskinian semula kadar haddul kifayah yang dilakukan baru-baru ini.
“LZS telah melaksanakan kadar baru haddul kifayah setelah kali terakhir dikemas kini pada tahun 2020. Melihat kepada keperluan kos sara hidup semasa yang meningkat, di samping kajian lapangan LZS yang dilakukan, kadar haddul kifayah sebelum ini yang diguna pakai RM2,734 kini telah kami naikkan kepada RM2,990.
“LZS juga mengambil kira faktor keperluan hidup di bandar. Sebagai contoh walaupun berpendapatan RM6,000 mungkin komitmen tinggi seperti tanggungan ramai, ahli keluarga sakit dan sebagainya sehingga pendapatan yang tinggal berada di bawah kadar haddul kifayah,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Jelasnya, terdapat pelbagai jenis kutipan zakat yang wajib seperti zakat pendapatan, simpanan, harta dan emas, begitu juga dengan agihan terdapat pelbagai kaedah dilakukan untuk membantu dan membangunkan golongan asnaf terutama fakir dan miskin.
Menurut Mohd. Sabirin, miskin dikelaskan kepada beberapa kategori iaitu miskin tegar, miskin yang produktif, bermusim atau miskin sementara seperti kehilangan pekerjaan dan sebagainya.
“Justeru, agihan zakat disalurkan mengikut syarat dan kelayakan mereka dengan mengenal pasti keperluan sesebuah keluarga termasuk melihat bantuan sara hidup, tempat tinggal, perubatan, pendidikan dan banyak lagi.
“Selain itu, LZS turut proaktif menyediakan bantuan segera atau kecemasan kepada mereka yang memerlukan, contohnya seseorang yang kehilangan pekerjaan dan tiada makanan atau minuman dapat disediakan untuk anak-anak di rumah, datang ke cawangan LZS kita sediakan bantuan maksimum RM500 pada hari sama. Pada tahun lepas, 71,900 penerima mendapat manfaat daripada bantuan tersebut.
Dalam pada itu, beliau turut menyatakan peranan LZS ketika pandemik Covid-19 sejak 2020 dan menjelaskan tahun tersebut mengalami lonjakan bayaran zakat yang ditunaikan berbanding tahun-tahun sebelumnya.
“Ketika pandemik, walaupun jumlah asnaf meningkat, ramai hilang pekerjaan dan perniagaan tidak memberangsangkan. Namun jumlah zakat yang ditunaikan meningkat terutama pada sektor pekerjaan yang tidak terjejas akibat pandemik.
“Selain itu, sebenarnya ada perniagaan yang berkembang pada pandemik seperti berniaga secara online, kumpulan itu juga kemudian menjadi pembayar zakat yang menyokong kepada peningkatan kutipan zakat pada tiga tahun kebelakangan ini,” ujarnya. – UTUSAN