AGC siasat dakwaan Ahmad Zahid mangsa pendakwaan terpilih

AGC siasat dakwaan Ahmad Zahid mangsa pendakwaan terpilih

AHMAD Zahid Hamidi tiba di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi kes rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi. - UTUSAN/M. FIRDAUS M. JOHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Jabatan Peguam Negara (AGC) perlu menyiasat dakwaan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bahawa beliau mangsa pendakwaan terpilih oleh rejim kerajaan terdahulu sehingga diheret ke mahkamah secara terburu-buru dan cuai.

Ketua Bahagian Rayuan dan Perbicaraan AGC, Datuk Mohd. Dusuki Mokhtar menegaskan, jabatan itu memberi jaminan akan menjalankan siasatan menyeluruh bagi memastikan tidak berlaku salah laksana keadilan terhadap Timbalan Perdana Menteri.

Ujar beliau, isu yang dibangkitkan oleh Presiden UMNO itu menyebabkan reputasi dan nama baik jabatan tersebut dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selaku badan penyiasat, tercemar.

“Kaca mata umum menyaksikan seolah-olah AGC dan SPRM adalah institusi undang-undang yang telah diperalatkan oleh pihak-pihak tertentu.

“Untuk tidak menafikan hak Ahmad Zahid dan supaya tidak berlaku salah laksana keadilan, kami percaya bahawa pertuduhan terhadapnya perlu diberhentikan buat masa ini sehinggalah siasatan yang lebih menyeluruh dan lengkap selesai,” ujarnya.

Mohd. Dusuki menyatakan demikian ketika menggariskan 11 alasan bagi menyokong permohonan agar Ahmad Zahid dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) daripada kesemua 47 pertuduhan.

Pada 10 April lalu, mahkamah diberitahu,  Ahmad Zahid mengemukakan representasi kepada AGC setebal 200 muka surat mengandungi fakta dan bukti baharu dalam usaha menggugurkan 47 pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram yang dihadapinya.

Surat representasi pertama telah dikemukakan pada Disember 2022 manakala yang terbaru dikemukakan pada Mac lalu mengandungi fakta baharu yang memerlukan siasatan menyeluruh pihak SPRM.

Menurut beliau, pihak pendakwaan perlu mengkaji keterangan saksi-saksi selain bagi membolehkan SPRM menjalankan siasatan lanjut terhadap bukti baharu yang dikemukakan oleh Ahmad Zahid.

Alasan itu antaranya menyentuh pengumuman Jemaah Menteri untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat isu-isu yang dibangkitkan dalam buku memoir tulisan bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas dan pendedahan berkaitan pertuduhan terhadap individu-individu tertentu.

Ujar Mohd. Dusuki, tujuan penubuhan RCI juga untuk menyiasat dakwaan berkaitan perlanggaran tanggungjawab profesional oleh pemegang-pemegang jawatan tertinggi dalam kerajaan.

Katanya, permohonan agar perintah DNAA dikeluarkan juga bertujuan bagi menyiasat dan menentusahkan memo dalaman yang dikatakan dikeluarkan oleh AGC yang tular dalam media sosial.

Sementara itu, peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik yang mengetuai pasukan pembelaan berhujah agar Ahmad Zahid dilepas dan dibebaskan daripada kesemua pertuduhan yang dihadapinya.

Beliau berhujah, RCI yang diumumkan oleh kerajaan itu tidak memberikan tempoh masa tertentu untuk menjalankan siasatan dan pengumuman penemuannya.

Hisyam memohon keadilan diberikan kepada anak guamnya supaya beliau dibebaskan sepenuhnya daripada kesemua pertuduhan.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah (kini hakim Mahkamah Rayuan) bagaimanapun menolak permohonan Hisyam, sebaliknya membenarkan permohonan pihak pendakwaan agar Ahmad Zahid dikenakan perintah DNAA.

Ahmad Zahid, 70, didakwa atas 47 pertuduhan iaitu lapan rasuah, 12 pecah amanah dan 27 pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi yang mana beliau adalah pengasasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN