KUALA NERUS: Terengganu FC (TFC) mengejutkan juara Australia, Central Coast Mariners, 1-0 dalam aksi Kumpulan G Piala AFC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, di sini, sebentar tadi.
Awal permainan bagaimanapun memihak pelawat menerusi tolakan Angel Quinones minit ke-16 yang mengenai kaki penjaga gol TFC sebelum tindakan susulan Alou Kuol tinggi melepasi sasaran.
Pintu gol TFC sekali lagi diuji pada minit ke-27 menyaksikan gerakan satu dua Quinones dan Jacob Farrel membelah benteng skuad Penyu mujur percubaan pemain itu tersasar.
Peluang terbaik TFC hadir melalui serangan balas Ivan Mamut yang membuat umpanan kepada Norhakim Hassan di sebelah kanan namun rembatannya minit ke-30 meleret ke sebelah tepi pintu gol.
Gol dicari-cari TFC akhirnya terhasil dalam masa tambahan babak pertama selepas bek tengah The Mariners, Nathan Paull tertolak masuk bola hantaran Nurillo Tukhtasinov ke dalam gawang sendiri.
Aksi makin rancak dipamerkan kedua-dua pasukan selepas rehat apabila tandukan Kuol (m-46) berpunca umpanan Marco Tulio dari sebelah kanan nyaris memberikan gol penyamaan.
Tidak sampai seminit kemudian giliran TFC melakukan serangan malangnya rembatan lencong Sony Norde dari luar kotak penalti ditepis penjaga gol, Daniel Vukovic untuk sepakan sudut.
TFC terus garang pada minit ke-49 namun tolakan Mamut di depan pintu gol hasil hantaran lintang Azam Azmi Murad dari sebelah kanan tersasar ke sebelah kiri sasaran.
Central Coast Mariners pula terus kempunan mencari gol penyamaaan apabila rembatan Quinones (m-73) sempat dihalang Shahrul Nizam Roshasni ketika berdepan penjaga gol, Mohd. Suhaimi Husin.
Ketika pelawat ghairah melakukan tekanan, TFC secara tiba-tiba melancarkan serangan balas menerusi Norde pada minit ke-75 namun percubaan kencangnya sekadar menggegar tiang.
Benteng pertahanan Sang Penyu terus cemerlang mempertahankan kelebihan satu gol dengan wakil Australia itu terus buntu sehingga kedudukan 1-0 kekal memihak tuan rumah. – UTUSAN