Adly Zahari dilihat individu layak, bakal terajui KPDN? - Utusan Malaysia

Adly Zahari dilihat individu layak, bakal terajui KPDN?

ADLY ZAHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Adly Zahari dilihat sebagai individu yang paling berpotensi untuk menggalas tanggungjawab sebagai Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.

Pengarah Komunikasi Ama­nah, Khalid Abdul Samad berkata, beberapa nama Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Negara daripada Amanah telah diajukan ke Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk dipertimbang bagi mengganti Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub.

Katanya, berdasarkan hie­rarki, kemungkinan Adly yang kini menggalas tanggungjawab sebagai Timbalan Menteri Pertahanan dipilih mengisi kekoso­ngan jawatan itu.

“Mungkin (Adly), secara logiknya beliau sebagai salah seorang Naib Presiden Amanah dan sekarang ini juga sebagai Timbalan Menteri, jadi beliau antara nama paling sesuai untuk dinaikkan.

“Jadi jika Adly dilantik sebagai Menteri bagi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), jawatan Timbalan Menteri Pertahanan itu akan diisi oleh Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Negara. Itu Amanah kemukakan kepada Perdana Menteri dan beliau akan putuskan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup kini dipangku Datuk Armizan Mohd. Ali dan beliau juga merupakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak Dan Tugas-Tugas Khas).

Selain Adly yang merupakan Ahli Parlimen Alor Gajah, Ama­nah turut mempunyai beberapa ahli Parlimen lain iaitu Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad (Kuala Selangor), Mohd. Sany Hamzan (Hulu Langat), Azli Yusof (Shah Alam), Aiman Athirah Sabu (Sepang), Aminolhuda Hassan (Sri Gading) dan Suhaizan Kayat (Pulai).

Bagi Ahli Dewan Negara pula adalah Datuk Dr. Mohd Hatta Md. Ramli, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof dan Mohd. Hasbie Muda.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Serdang, Abbas Azmi berkata, secara peribadi beliau merasakan Adly layak menggantikan Salahuddin kerana mempunyai pengalaman yang luas.

“Beliau ada pengalaman yang luas, sebelum ini Adly merupakan Ketua Menteri Melaka dan sekarang Timbalan Menteri Pertahanan.

“Pendapat peribadi saya, Adly boleh menggantikan tempat yang ditinggalkan oleh Allah­yarham. Cuma ia juga terpulang kepada pertimbangan Perdana Menteri,” katanya.

Mengulas mengenai ura-ura bahawa sekiranya Adly dilantik sebagai Menteri, Mohd. Hasbie akan dilantik sebagai Timbalan Menteri Pertahanan, Abbas berkata, Ketua Pemuda Amanah tersebut layak sekiranya benar-benar dilantik.

“Sekiranya mahukan satu pembaharuan pada suara orang muda itu didengari, saya merasakan Mohd. Hasbie layak untuk dipertimbang ke jawatan tersebut,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya