KUALA LUMPUR : Pelakon, Sharifah Amani, 37, memaklumkan dia pernah menerima aduan daripada kelompok graduan Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), yang mendakwa sukar mendapat peluang pekerjaan dalam industri seni.
Menurut Amani, perkara itu lebih ketara terutama semasa dunia dilanda pandemik Covid-19 dan selepas negara memasuki era endemik.
“Saya tahu industri seni kita ini banyak sahaja bakat-bakat yang amat berpotensi. Satu contoh dapat dilihat ialah semasa saya jadi juri untuk sebuah pertandingan teater pendek di ASWARA baru-baru ini.
“Saya seronok tengok ramai bakat yang hebat dan ada potensi. Tetapi, selepas itu, apa? Ke mana mereka? Ada ramai yang mengadu pada saya mereka susah nak dapat ‘job’ terutama masa Covid.
“Saya benar-benar berharap, agar lebih banyak penerbit dan produksi, beri keutamaan kepada graduan-graduan ini untuk berkerja mengikut cabang seni yang dipelajari.
“Sekarang bukan tak ada, tetapi masih belum meluas. Bagi saya, lebih baik buka peluang kerja kepada mereka sebab rata-rata sudah ada kemahiran dan ilmu dalam bidang yang diceburi,”katanya.
Amani berkata demikian semasa ditemui pada sidang media filem La Luna arahan M. Raihan Halim di ibu negara, hari ini.
Turut hadir ialah Shaheizy Sam, Wan Hanafi Su, Eidil Putra, Hisham Hamid, Nadiya Nisaa, Namron dan Farah Ahmad.
Selain itu, Amani berkata, dia tidak melihat pembabitan golongan pempengaruh media sosial ke dalam bidang seni sebagai satu ancaman kepada artis dan pengkarya seni sedia ada.
Ini kerana katanya, masing-masing mempunyai rezeki sendiri dan jika mereka ( pempengaruh) ingin kekal lama dalam industri, faktor yang perlu diterapkan adalah nilai kesungguhan dan disiplin yang tinggi.
“Saya okey saja sebab rezeki masing-masing. Sebab setiap zaman mesti ‘celebrity culture’ iaitu ruang dan masa masing-masing. Bagi saya kalau hendak berada lama dalam industri, kena belajar dan tahu ilmu.
“Kalau awak bagus, awak akan kekal lama. Kalau tidak, akan cepat menghilang. Ia satu trend yang sentiasa berlaku walau di zaman apa pun,”katanya.