9 didakwa culik wanita Indonesia, tuntut tebusan RM540,000 - Utusan Malaysia

9 didakwa culik wanita Indonesia, tuntut tebusan RM540,000

SERAMAI sembilan individu termasuk seorang wanita didakwa di Mahkamah Majistret, George Town, Pulau Pinang hari ini atas pertuduhan menculik seorang wanita warga Indonesia yang juga isteri kepada seorang kontraktor, tiga minggu lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Seramai sembilan individu termasuk seorang wanita didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan menculik seorang wanita warga Indonesia yang juga isteri kepada seorang kontraktor, tiga minggu lalu.

Tertuduh ialah Mohamad Noor Shahrizuan Hashin; Tan Gim Chun; C. Youganathan; Elaine Gooi Swee May; Lok Wai Lun; Haffizan Samsudin dan Noorazlin Mat Kasa serta dua warga Indonesia iaitu Yussuf Bahtiar Dan Agong Laksono.

Kesemua mereka mengangguk faham pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Nadratun Naim Mohd. Saidi.

Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada kesemua tertuduh yang berusia antara 29 hingga 41 tahun itu.

Mengikut pertuduhan, kesemua mereka didakwa bersama-sama menculik seorang wanita warga Indonesia berusia 36 tahun dengan tujuan menuntut wang tebusan sebanyak RM540,000 di sebuah blok di Pangsapuri Sri Aman, Paya Terubong di sini, kira-kira pukul 7 pagi, 7 September lalu.

Mereka didakwa melakukan kesalahan tersebut di bawah Seksyen 3 Akta Penculikan 1961 (Akta 365) dibaca bersama-sama Seksyen 34 Kanun Keseksaan dengan hukuman penjara maksimum 40 tahun dan sebatan jika disabit bersalah.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya S. Darrshini manakala kesemua tertuduh diwakili peguam Chiang Kan Hong.

Mahkamah turut tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh dan kes akan disebut semula pada 11 Disember depan.

Akhbar sebelum melaporkan, seorang wanita warga Indonesia diculik di kawasan Relau dekat sini, ketika sedang bercuti bersama dua rakannya dipercayai angkara hutang perniagaan suaminya berjumlah RM540,000.

Selain dikurung selama 10 hari di beberapa lokasi, wanita berkenaan turut diikat dengan rantai besi, didera termasuk dicucuh dengan puntung rokok dan dicucuk jarum selain disebat menggunakan paip getah.

Penderitaan mangsa bagaimanapun berakhir selepas dia berjaya diselamatkan polis dalam operasi khas Op Scorpion Rantai Penang di sebuah rumah di Shah Alam, Selangor, 17 September lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya