KUALA TERENGGANU: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Terengganu merekodkan 87 kes perintah khidmat masyarakat (PKM) atas pelbagai kesalahan sejak Januari sehingga Ogos tahun ini.
Pengarah JKM negeri, Mazura Ngah Abd. Manan berkata, sebanyak 76 kes daripadanya adalah pesalah muda, 10 kes pesalah kanak-kanak dan satu kes pesalah dewasa.
Menurut beliau, kesalahan paling banyak ialah lalu lintas di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 iaitu menunggang motosikal secara melulu dan berbahaya.
“Daripada 87 kes tahun ini, 44 masih aktif dengan pesalah sedang menjalani hukuman dijatuhkan mahkamah iaitu PKM maksimum 240 jam dalam tempoh enam sehingga 12 bulan.
“PKM merupakan hukuman alternatif kepada pemenjaraan bagi mencegah pesalah mengulangi kesalahan mereka melalui elemen hukuman, pemulihan serta keinsafan.
“Langkah ini memberi kesan positif kepada pesalah yang menyedari hukuman lebih berat menanti mereka termasuk tambahan jam kredit sekiranya gagal menyelesaikan PKM,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika program gotong-royong melibatkan 12 pesalah dari Kuala Terengganu yang menjalani PKM di perkarangan Pantai Batu Buruk, di sini, hari ini.
Sementara itu, salah seorang pesalah yang mahu dikenali, Wan, 20, yang juga pelajar madrasah, mengakui perintah khidmat masyarakat memberi pengajaran berguna dan menginsafkan buat dirinya.
Anak keenam daripada sembilan beradik itu berkata, dia yang mendapati bersalah dan diarah menjalani perintah khidmat masyarakat sehingga dipandang serong apatah lagi bergelar pelajar madrasah.
“Sejak dikenakan PKM, masa terluang yang sepatutnya dihabiskan bersama keluarga dan pelajaran terpaksa dikorbankan bagi memenuhi jam kredit atas kesalahan lalu,” katanya. – UTUSAN