KUALA NERUS: Kira-kira 8,000 kes kehilangan kad pengenalan dilaporkan di seluruh negara pada setiap tahun sejak 2018.
Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Zamri Misman, berkata, pihaknya memandang serius isu berkenaan dan meminta rakyat supaya berhati-hati menjaga dokumen peribadi tersebut.
Menurut beliau, jumlah kes berkenaan adalah di tahap membimbangkan kerana boleh disalahgunakan oleh pihak tidak bertanggungjawab bagi pelbagai tujuan termasuk jenayah.
“Setiap tahun secara purata sebanyak 200,000 permohonan MyKad baharu diterima dan dikeluarkan oleh JPN kepada rakyat di negara ini,
“Bagaimanapun daripada jumlah itu empat peratus akan berlaku kes kehilangan dengan kebanyakan faktor berpunca kelalaian seperti tertinggal ketika bercuti dan sebagainya.
“Kita minta agar pemegang MyKad segera membuat laporan polis jika berlaku kehilangan dan jika ianya kali ketiga, denda RM1,000 akan dikenakan kepada pemilik,” tegas beliau.
Zamri ditemui selepas menyerahkan kad pengenalan kepada Abdul Wahab Saleh, 71, yang juga orang kurang upaya (OKU) lembam pada Program Menyemai Kasih Rakyat (Mekar) di Kampung Telaga Daing, Seberang Takir, di sini, hari ini.
Beliau berkata, serahan MyKad kepada warga emas berkenaan adalah antara inisiatif Program Menyemai Kasih Rakyat (Mekar) bagi kemudahan mendapatkan rawatan di hospital dan bantuan lain.
Dalam pada itu, Zamri menjelaskan, sebanyak 4,000 kes lewat membuat kad pengenalan setiap tahun melibatkan pelbagai golongan termasuk OKU dan penduduk pedalaman.
“Bagi kes Abdul Wahab ini, dia tidak pernah berkahwin selain tiada kediaman tetap kerana hidup menumpang dengan saudara-mara dan usaha membuat MyKad bermula Mei lalu oleh anak saudaranya.
“Program Mekar digerakkan secara turun padang bagi urusan pengeluaran dokumen pengenalan diri dan membolehkan mereka menikmati bantuan serta kemudahan disediakan kerajaan,” katanya. – UTUSAN