GEORGE TOWN: Sebanyak lapan unit rumah kedai dua tingkat yang terletak berhampiran sebuah restoran nasi kandar terkenal di Jalan Datuk Keramat di sini, musnah dalam kebakaran malam ini.
Bagaimanapun, tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kebakaran yang berlaku kira-kira pukul 8 malam itu.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) negeri berkata, sebaik sahaja tiba di lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pukul 8.04 malam, didapati kebakaran itu melibatkan lapan unit kedai jenis kelas A dua tingkat.
”Anggaran peratusan kebakaran adalah sebanyak 90 peratus dan operasi pemadaman kebakaran turut dibantu oleh balai dan pasukan bomba sukarela berhampiran,” katanya di sini malam ini.
Menurutnya, pihak bomba berjaya mengawal kebakaran daripada merebak ke kedai-kedai lain yang terdapat di deretan bangunan di lokasi kejadian.
“Punca kebakaran serta jumlah kerugian masih dalam siasatan.
“Operasi memadam kebakaran itu dibantu lebih 100 pegawai dan anggota melibatkan BBP dari Lebuh Pantai, Bagan Jermal, Bayan Baru, Bandar Perda dan Sungai Bakap serta Pasukan Bomba Sukarela,” katanya. – UTUSAN