KUALA TERENGGANU: Sebanyak 126 motosikal peserta Himpunan RXZ Members 5.0 di Litar Permotoran Terengganu, Gong Badak dekat sini disita pelbagai kesalahan menerusi Op Khas Motosikal pada Jumaat dan semalam.
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu, Zulkarnain Yasin berkata, antara kesalahan dikesan ialah 134 kes tiada nombor pendaftaran, ubah suai ekzos (88) dan tiada cermin sisi (57).
Selain itu menurut beliau, kesalahan lain adalah 42 kes ubah suai bentuk dan peralatan motosikal, nombor pendaftaran ekstrim (26), tiada brek (17) serta tayar tidak ikut spesifikasi, dua kes.
Tegasnya, tidak timbul isu ‘pukat-memukat’ membabitkan peserta program Himpunan RXZ Members kerana JPJ telah mewar-warkan operasi besar-besaran di seluruh negara bermula 1 sehingga 30 September.
“JPJ Terengganu sendiri turut serta dalam mesyuarat bersama penganjur dan kita sudah mengingatkan peserta untuk mematuhi peraturan serta syarat pihak berkuasa.
“Difahamkan kehadiran program RXZ Members 5.0 adalah lebih 40,000 peserta namun yang ditahan atas pelbagai kesalahan cuma 126 buah motosikal sahaja, jadi peratusannya kecil sahaja,” ujarnya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar operasi khas berkenaan di Depoh Ibu Pejabat JPJ Terengganu di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Zulkarnain memberitahu secara keseluruhan 2,847 notis saman dikeluarkan terhadap 4,230 kenderaan yang diperiksa sepanjang sembilan hari pertama Op Khas Motosikal di seluruh negeri.
Jelasnya, kesalahan paling popular dikesan ialah 432 kes lesen kenderaan motor tamat tempoh, ubah suai nombor pendaftaran (305) dan tiada lesen memandu (267).
Selain itu, turut direkodkan adalah kesalahan tiada perlindungan insurans sebanyak 254 kes dan cermin gelap (252), melanggar lampu isyarat merah (172) serta tidak memakai topi keledar (30). – UTUSAN