BESUT: Sebanyak 70 kilogram (kg) sampah berjaya dikutip di dasar laut dan di pesisir pantai sempena Program Sukarelawan PADI Aware Dive Against Debris dan aktiviti pembersihan pantai di Pasir Panjang, Pulau Perhentian, di sini, semalam.
Penasihat Program, Datuk Zuraidah Atan berkata, sebanyak 40kg sampah tersebut dikutip di dasar laut berdekatan pulau itu manakala 30kg di pesisir pantai tersebut.
Menurutnya, program yang dianjurkan Yayasan Salam Malaysia (Salam) dan Black Eye Scuba Team (BEST) tersebut disertai seramai 100 sukarelawan, pelancong dan penduduk tempatan.
Katanya, pada masa sama, seramai 20 sukarelawan penyelam skuba berpengalaman menyertai program tersebut dengan mengutip sampah di dasar laut terutamanya di kawasan terumbu karang dan pembiakan sumber laut.
“Sukarelawan penyelam skuba berjaya menaikkan sampah sarap yang tersangkut di batu karang serta tempat-tempat strategik pembiakan ikan dan hidupan laut.
“Program tersebut menjadi aktiviti di beberapa negara yang mempunyai kesedaran berhubung penjagaan laut khususnya di pulau-pulau strategik yang mempunyai nilai ekonomi dan pelancongan yang tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Sukarelawan PADI Aware Dive Against Debris dan aktiviti pembersihan pantai di Pasir Panjang, Pulau Perhentian, di sini, semalam.
Program tersebut dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Besut, Azbi Salleh. Turut hadir Ahli Lembaga Pemegang Amanah Salam, Datuk Mior Kamarulbaid Mior Shahid.
Sementara itu, Azbi berkata, pencemaran di dasar laut yang boleh merosakkan batu karang dan hidupan laut perlu diberi perhatian serius.
Tambahnya, keadaan tersebut boleh menjejaskan keindahan dasar laut termasuk merosakkan batu karang yang menjadi tarikan penyelam dari seluruh dunia di lautan di negara ini.
“Program ini sudah tentu menjadi teladan kepada pelancong dan penduduk tempatan bahawa kebersihan pantai hendaklah sentiasa dijaga.
“Sikap dan budaya murni yang kita tunjukkan ini menjadi contoh kepada setiap individu supaya menghindarkan diri daripada membuang sampah di merata tempat terutamanya di kawasan tumpuan pelancong,” ujarnya. – UTUSAN