KANGAR: Isu kekurangan beras putih tempatan di negeri ini dijangka dapat diselesaikan dengan kemasukan sebanyak 700 tan metrik bekalan secara berperingkat dalam tempoh sebulan.
Bermula semalam, Kawal Selia Padi dan Beras Perlis telah mula mengedarkan sebanyak 50 tan metrik beras putih menerusi empat pengilang sebagai intervensi bagi menyediakan bekalan berkenaan.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Razali Saad berkata, pihak Kawal Selia Padi dan Beras akan memberi fokus terhadap pekedai dan peruncit di dalam setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Perlis bagi memastikan bekalan beras putih berada di dalam pasaran.
“Boleh dikatakan sebilangan kedai dalam kawasan Kangar, Arau dan Padang Besar telah menerima bekalan beras putih ini bagi menampung permintaan pengguna di negeri ini,” katanya selepas mengadakan perbincangan bersama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) di sini hari ini.
Terdahulu, Razali turut berkesempatan meninjau situasi bekalan beras putih tempatan di beberapa kedai pemborong bagi melihat situasi sebenar dihadapi pengguna di negeri ini.
Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan beras import menguasai lebih 90 peratus di pasar raya dan kedai-kedai runcit sekitar negeri ini berbanding beras tempatan yang sekadar melengkapi rak-rak makanan ruji itu.
Dalam pada itu, Razali berkata, FAMA juga turut mendapat bekalan daripada pemborong yang dikenalpasti bagi menampung kekurangan beras putih tempatan dan telah membawa masuk sebanyak 10 tan metrik bekalan ke negeri ini.
“FAMA akan memberi fokus bagi menjual bekalan beras berkenaan di 25 outlet mereka dan menerusi Jualan Agro Bazar Madani yang diadakan pada setiap minggu,” katanya.
Di samping itu, Razali berkata, pihaknya berharap usaha yang dilaksanakan oleh Kawal Selia Padi dan Beras bersama FAMA itu sedikit sebanyak dapat membantu menampung isu kekurangan beras putih tempatan khususnya di negeri ini.
Tambahnya, buat masa ini, tiada sebarang pembelian panik dalam kalangan pengguna di negeri ini malah keadaannya juga masih terkawal.
“Harapan saya adalah supaya masyarakat jangan ambil kesempatan dengan melakukan pembelian panik sementara bekalan kembali stabil,” katanya.-UTUSAN