MERSING: Seramai 644 graduan diraikan pada Majlis Konvokesyen Politeknik Mersing Johor (PMJ) Ke-11 yang diadakan di kampus tersebut, hari ini.
Konvokesyen yang diadakan di Dewan Permata Marjan, PMJ itu menyaksikan kesemua graduan dari Jabatan Kejuruteraan Elektrik, Jabatan Teknologi Maklumat dan Komunikasi dan Jabatan Perdagangan berjaya menerima diploma masing-masing.
Pada majlis konvokesyen tersebut, turut menerima skrol penuntut Diploma Sains Kesetiausahaan, Diploma Pengajian Perniagaan, Diploma Teknologi Maklumat, Diploma Kejuruteraan Elektrik serta Diploma Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik.
Pengarah PMJ, Hilmun Mohamed berkata, hingga kini PMJ telah berjaya melahirkan seramai 3,662 graduan.
“Selaras dengan slogan ‘PMJ Terbang Tinggi’, PMJ terus mengorak langkah sebagai sebuah institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang proaktif dalam melahirkan penuntut berkualiti dan memacu kebolehpasaran para graduan.
“Jika diperhalusi, trend kebolehpasaran graduan PMJ dari 2015 hingga 2022 menyaksikan peratusan terus meningkat dari 86.7 peratus ke 97.1 peratus.
“Kecemerlangan ini amat membanggakan dan harapan agar dapat meneruskan aspirasi PMJ Terbang Tinggi atas pencapaian hebat ini,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Menurutnya, kejayaan dalam peningkatan kebolehpasaran graduan turut didukung oleh strategi jalinan kerjasama antara PMJ dengan pihak industri.
Katanya, kerjasama yang utuh mampu melonjakkan pendigitalan industri dan graduan TVET amnya serta PMJ khususnya berada pada bidang tujahan dan teknologi selari dengan keperluan Revolusi Perindustrian 4.0.
Majlis konvokesyen berkenaan disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia, Datuk Dr. Amirudin Abdul Wahab serta Pengarah Bahagian Kurikulum, Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Dr. Zamzam Mohd. Walid. –UTUSAN